“DOAKAN kebaikan untuk Negeri Pahang, InsyaAllah,” demikian reaksi ringkas Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man terhadap gambar yang menunjukkan beliau bersama Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Facebook beliau hari ini.
Ia sekali gus membayangkan satu kerajaan campuran bakal dibentuk di Pahang antara Perikatan Nasional (PN) dan BN selepas tamat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu lalu.
PRU-15 menyaksikan kerajaan negeri Pahang tergantung selepas tiada pihak mendapat majoriti mudah.
Ini setelah PN berjaya membolot 17 kerusi DUN dan diikuti rapat oleh BN dengan 16 kerusi, sementara PH meraih lapan kerusi.
Buat masa ini, jawapan kepada persoalan hasil rundingan kerjasama dalam lingkungan tiga gabungan parti politik itu ke arah pembentukan Kerajaan Pahang, terus dinanti-nantikan khususnya oleh rakyat negeri itu.
Sementara itu, spekulasi lain ialah pembentukan kerjasama di antara BN dan PH dengan Wan Rosdy dijangka terus mengekalkan jawatan Menteri Besar, terpulang atas perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sebelum ini, media melaporkan, Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah sebagai berkata, perbincangan sudah dibuat oleh DAP Pahang, namun rundingan dengan BN negeri akan dijalankan oleh Pengerusi PH Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata, PH Pahang juga sudah membuat keputusan menyokong Wan Rosdy untuk terus menerajui kerajaan negeri selaku Menteri Besar andai kerjasama dengan BN berjaya direalisasikan.
Leave a Reply