MAJLIS Profesor Negara (MPN) berharap proses membentuk sebuah kerajaan campuran atau gabungan yang stabil susulan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) dapat dicapai segera berlandaskan perlembagaan dan lunas undang-undang negara.

MPN menggesa para pemimpin parti politik yang menang agar segera berunding berpandukan matlamat untuk membentuk sebuah kerajaan baharu yang stabil dan kukuh bagi menerajui negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

“MPN menyeru semua pihak meletakkan kepentingan negara dan rakyat mengatasi lain-lain kepentingan yang sempit dan bersifat peribadi. Lebih cepat kerajaan gabungan ini dapat dibentuk ianya lebih baik bagi negara.

“Kita amat menyedari bahawa negara masih berada pada fasa pemulihan di samping berdepan dengan pelbagai cabaran besar terutamanya iklim ekonomi dan politik dunia yang tidak menentu,” kata MPN dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah MPN, Malaysia memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, cekap dan berkesan bagi memastikan negara berupaya mengurus dan menangani segala cabaran yang mendatang.

“Nasib dan masa depan rakyat dan negara tidak seharusnya diperjudikan dan menjadi taruhan,” menurut kenyataan itu, lapor Astro Awani.

Malaysia jelas MPM, harus mengelakkan diri daripad terjerumus dalam krisis politik yang berlarutan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here