Oleh BADLISHAH MAT

TAN Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 di Istana Negara dalam satu majlis kira-kira pukul 4 petang ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau dimaklumkan terdapat sekurang-kurangnya 18 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bersedia menyokong Muhyiddin.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat berkata, senarai nama individu itu akan melalui beberapa prosedur dan perlu dihantar ke Istana Negara sebelum pukul 2 petang ini.

“Saya harap semua pakat berdoa semoga senarai nama yang perlu dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum 2 petang, dapat diserahkan. Selepas itu, Majlis Angkat Sumpah Perdana Menteri daripada PN insya-Allah akan berlaku pukul 4 petang.

“Doakan supaya semua ini berjalan dengan sempurna seperti diharapkan untuk kita bawa negara ini menjadi prihatin, bersih dan stabil,” katanya ketika berucap pada Majlis Kesyukuran PN Kedah di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar, malam tadi.

Terdahulu Muhammad Sanusi berharap ahli serta pimpinan UMNO membuat desakan terhadap Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk tidak meneruskan hasrat membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH).

Tegasnya, perkara itu perlu ditentang oleh ahli UMNO sendiri ketika Ahmad Zahid dilihat cuba mengheret kesemua 30 ahli Parlimen BN agar bersama PH bagi menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Dakwanya, Ahmad Zahid dalam apa keadaan sekali pun mahu memastikan dirinya terselamat daripada kes-kes mahkamah seperti dijanjikan Anwar dan atas sebab itu beliau mahu memastikan kesemua 30 ahli Parlimen BN menyokong Anwar.  

Tambahnya, sebahagian daripada pengundi yang memberi sokongan kepada PN untuk meraih kemenangan besar adalah ahli UMNO sendiri yang tidak mahu melihat parti itu jauh tersasar di bawah Ahmad Zahid.

“Ahmad Zahid sedang mengheret UMNO untuk melanggar ketetapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) iaitu ‘No Anwar, No DAP’. Bahaya melibatkan Anwar, DAP dan fahaman-fahaman dikendong perjuangan mereka sudah disebut banyak kali sebelum ini.

“Jadi kalau ahli-ahli UMNO terus merestui tindakan Presiden mereka untuk memaksa Ahli Parlimen BN menubuhkan kerajaan brsama PH, maknanya mereka akan jadi pengkhianat terbesar dalam sejarah umat Islam di negara ini,” katanya.  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here