Oleh RIZQI ZABIDI
PILIHAN Raya Negeri (PRN) Kedah akan dilaksanakan pada bila-bila masa selepas berakhirnya musim banjir serta peralihan monsun pada Mac, tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama rakan sejawatannya di Terengganu dan Kelantan agar PRN tersebut dapat dilaksanakan secara serentak.
“Saya menjangkakan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan selepas Mac. Sebelum ini pernah saya katakan bahawa PRN tak dilaksanakan sekarang kerana banjir dan apabila musim banjir itu berakhir pada Mac, PRN akan diadakan ‘anytime’.
“Peralihan monsun dan banjir ini sampai Mac jadi kita akan adakan PRN selepas itu. Kena ambil kira jugalah beberapa perkara kerana selepas Mac akan ada kedatangan Ramadan, Aidilfitri, Aidiladha tetapi mungkin kita boleh laksanakan PRN di celah-celah itu.
“Apa pun saya kena bincang dengan Kelantan dan Terengganu agar PRN diadakan sekali. Kalau buat sekali, ‘syok’ dan jimatlah sikit,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Kesyukuran Perikatan Nasional (PN) Kedah di Kompleks Pas Kedah, dekat Kota Sarang Semut di Alor Setar, malam tadi.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita sama ada PRN di Kedah akan diawalkan susulan momentum sokongan rakyat yang dilihat menyebelahi PN dalam PRU ke-15.
Sementara itu Muhammad Sanusi turut menzahirkan keyakinan betapa PN dapat merampas kerusi Parlimen Padang Serai dari Pakatan Harapan (PH), sekali gus menjadi kerusi Parlimen yang ke-14 dimenangi di Kedah apabila pengundian di kawasan itu dijalankan pada 7 Disember depan.
“Tunggu dibuka tong undi sajalah dan tong tersebut akan dipenuhi dengan undi kepada PN kerana di sinilah keyakinan rakyat sekarang ini. Semua orang tak mahu duduk sebelah sana kerana masing-masing mahu bersama pemenangan.
“Saya harap begitulah kerana bagi saya kerusi Parlimen Padang Serai ini hanyalah kemenangan yang tertangguh,” katanya.
Proses pengundian bagi Parlimen Padang Serai terpaksa ditangguhkan setelah calon PH, M. Karupaiya meninggal dunia akibat penyakit jantung pada 16 November lalu.
Leave a Reply