SKUAD Prihatin Bersatu sedia membantu dan membawa mangsa banjir termasuk dari pusat pemindahan sementara ke pusat pengundian bagi melaksanakan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu ini.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata skuad itu, yang dilancar pada Oktober lepas, ditubuhkan bagi mengatur gerak aset dan sukarelawan misi bantuan kepada mangsa banjir di seluruh negara.

“Itu tugas jentera kita, angkut keluar mengundi, kita angkut, tak ada masalah. Dalam kita menghadapi PRU15, saya juga mengarahkan supaya jentera kita ini menguruskan soal pemindahan, bantuan makanan, keperluan lain, lampin pakai buang dan sebagainya.

“Jawatankuasa di bawah pimpinan Mohd Rafiq Mohd Abdullah (Anggota Majlis Tertinggi Bersatu) akan menguruskan perkara ini,” katanya kepada pemberita di Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Kampung Jawa di Lenga di sini hari ini.

Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan akan berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya berhubung keputusan untuk menghentikan PRU15 sekiranya berlaku banjir besar. – BERNAMA 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here