TAN Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak ‘menyerang’ Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ketika beliau berkempen di Parlimen Bagan Datuk Isnin lalu.
Situasi itu seolah-olah menyokong dakwaan adanya suatu ‘persefahaman’ antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan selepas PRU-15, meskipun ia dinafikan oleh pemimpin kedua-dua gabungan itu.
Muhyiddin mendakwa, Anwar ‘tidak sentuh’ Zahid meskipun pemimpin BN itu berdepan kes mahkamah.
“Dia (Anwar) tak sentuh langsung. Jadi apakah betul pandangan sesetengah pihak seolah-olah ada bentuk satu persefahaman atau kerjasama kalau tak cukup bilangan (kerusi menang).
“Anwar tahu UMNO korup, salah guna kuasa, penyelewengan, ada sudah masuk penjara. Kes ‘kluster mahkamah’ di hadapan dia, yang itu dia tak serang. Saya ini apa ada? Kalau ikut, kes tiada. Kenapa saya diserang?” soalnya selepas program bersama penduduk Kampung Jawa di Pagoh.
PRU-15 menyaksikan PN pimpinan Muhyiddin bersaing dengan BN meskipun parti beliau pernah bekerjasama Umno untuk membentuk kerajaan sebelum ini, di sebalik laporan mengenai perseteruan kedua-dua parti.
Sementara itu, Muhyiddin percaya Anwar amat bimbang dengan sokongan terhadap PN, terutama trend anak muda yang menurut beliau menjurus ke arah gabungan pimpinannya itu.
“Muka dia tak cerah sekarang, sedih saja. Bagi saya, ini soal persaingan dalam sistem demokrasi. Ada orang suka, ada orang tak suka, itu biasalah. Saya serang dia juga. Dia kata saya ‘bapa perintah kawalan pergerakan’…tak apalah, mungkin dia sudah tertekan,” tambah beliau lapor Free Malaysia Today.
Leave a Reply