MAHKAMAH Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM30,000 terhadap sebuah kilang elektronik terkemuka kerana melakukan pembuangan efluen perindustrian melebihi had yang dibenarkan.

Hukuman itu dijatuhi Hakim Noor Aini Yusof selepas wakil syarikat berkenaan mengaku bersalah ketika dihadapkan ke mahkamah itu.

Kesalahan itu dilakukan di bawah Peraturan 11(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ke dalam perairan pendalaman.

Ketika pertuduhan dibacakan, syarikat itu diwakili Pengurus Fasilitinya yang hadir bersama peguam, Peter Huang dari firma guaman, Peter Huang & Richard.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pelepasan efluen yang mengandungi bahan pencemar melebihi had yang ditetapkan telah mencemarkan perairan dan berpotensi menjejaskan kesihatan awam.

Katanya, dalam kes itu, premis berkenaan didapati melepaskan pepejal terampai (suspended solid) sebanyak 200 miligram per liter (mg/L) iaitu melebihi had yang ditetapkan (100mg/L).

Tambah beliau, premis itu turut melepaskan aluminimum sebanyak 39 mg/L berbanding had yang ditetapkan iaitu hanya sebanyak 15 mg/L.

“Denda maksimum bagi kesalahan ini adalah tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun jika sabit kesalahan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here