SEBANYAK 6,010 pusat pemindahan sementara (PPS) dikenal pasti di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlaku bencana banjir sepanjang musim tengkujuh atau monsun timur laut.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata pihaknya, melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, telah siap siaga mendepani bencana itu dengan semua barangan keperluan bagi kegunaan mangsa banjir ditempatkan di depoh simpanan seluruh negara dan hanya menunggu arahan untuk dihantar ke PPS yang memerlukan.
Beliau berkata bagaimanapun, timbul sedikit kegusaran apabila 35 peratus PPS yang dikenal pasti adalah pusat pengundian untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov ini.
“Jadi kita sama-sama berdoa agar banjir tidak berlaku dalam masa terdekat atau pada masa yang sama dengan hari mengundi nanti,” katanya kepada pemberita di Pentas PRU15 Perikatan Nasional (PN) untuk Parlimen Kuala Langat di sini hari ini.
Turut hadir calon PN bagi Parlimen Kuala Langat iaitu Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, Pengarah Pilihan Raya PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Terdahulu, Jabatan Pengairan dan Saliran mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat bagi empat negeri iaitu Pahang, Selangor, Johor serta Sarawak. – BERNAMA
Leave a Reply