Penerimaan rakyat terhadap PN luar biasa-Sanusi

PENGALAMAN dilalui bersama rakan-rakan parti komponen Perikatan Nasional (PN) dilihat mampu memberi kelebihan kepada gabungan tersebut pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, 19 November ini.

Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, walaupun PN pertama kali menyertai PRU, namun Pas dianggap sebagai ‘otai’ kerana melalui banyak pengalaman pilihan raya.

“Begitu juga rakan-rakan komponen lain ada pengalaman menghadapi PRU sebelum ini.

“Malah PN lebih stabil berbanding Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), ini memberi kelebihan kepada PN,” katanya memetik laporan HarakahDaily, hari ini.

Selain itu, Menteri Besar Kedah itu bersyukur kerana proses penamaan calon PN di semua 15 Parlimen di Kedah berjalan lancar dan mendapat sambutan menggalakkan di setiap tempat.

Dalam pada itu, beliau berkata, penerimaan rakyat terhadap PN agak luar biasa dan mengejutkan biar pun BN dan PH memberi saingan sengit di beberapa Parlimen.

“Pengundi tegar tidak berubah dan akan menjadi faktor kemenangan, sementara pengundi kali pertama dan pengundi atas pagar akan membantu calon membuat kejutan,” tambah beliau.

Sementara itu, beliau tidak menolak pertandingan lebih tiga penjuru akan memberi kesan kepada jumlah pengundian.

“Secara dasar pertandingan dua penjuru yang terbaik bagi PN dan BN. Parti lain akan beri kesan berdasar asal usul parti tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, baginya dalam apa juga keadaan PN dilihat mempunyai peluang lebih cerah.

Parlimen Sik menyaksikan penyandang Ahmad Tarmizi dicabar Maizatulakmam Othman (BN) dan Datuk Latipah Md. Yatim (PH).

Pada PRU-14, beliau menang dengan majoriti 5,218 undi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *