MENTERI Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meminta agar bantuan disalurkan kepada keluarga pelatih Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) yang meninggal dunia di asrama Majlis Sukan Negara (MSN) Perak hari ini.

Beliau berkata pihak pengurusan MSN, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dan NHDP juga diminta untuk memastikan pengurusan mayat Bill Wolfson Anak Lianie, 14, berjalan lancar.

“Saya dengan penuh rasa sedih dan dukacita ingin mengucapkan salam takziah kepada keluarga peserta Klinik Penjaga Gol NHDP yang telah meninggal dunia pagi tadi.

“Wolfson dipercayai meninggal dunia akibat serangan sawan selepas selesai mandi di bilik penginapannya di Ipoh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut mendoakan agar keluarga, rakan-rakan mendiang serta Persatuan Hoki Sarawak tabah dan diberi kekuatan menghadapi ujian tersebut.

Wolfson yang mengikuti Program Klinik Penjaga Gol di Akademi Hoki Raja Ashman di sini mengadu tidak selesa serta berasa hendak pitam lalu tiba-tiba rebah di dalam biliknya pada kira-kira 7 pagi tadi.

Wolfson adalah antara penjaga gol di Pusat Latihan Daerah NHDP di Sekolah Menengah Kebangsaan Penrissen, Kuching, Sarawak yang terpilih mengikuti klinik penjaga gol dikendalikan oleh NHDP di Akademi Hoki Raja Ashman Shah di sini bermula semalam hingga hari ini.

Mendiang ditemani Ketua Jurulatih Remaja Negeri Sarawak Wilina Mac Carina Anak Wilson dan tiba di Ipoh pada Khamis lepas bagi menghadiri klinik penjaga gol sempena penganjuran Piala Sultan Azlan Shah. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here