Heboh diperkatakan mengenai surat aku janji calon BN yang menang pada PRU15 ini supaya menyokong Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri.

Surat yang viral itu mendakwa calon yang terlibat perlu menyokong sebarang tindakan Presiden UMNO dalam membuat perancangan dengan parti atau pakatan politik lain, jika UMNO dan BN gagal membentuk kerajaan secara sendiri selepas PRU15.

Kandungan surat itu turut mendakwa bahawa calon yang menang perlu menyokong pengguguran kes mahkamah dan siasatan ke atas pemimpin UMNO dan BN.

Aku janji berkenaan yang mengundang pelbagai persepsi ditamatkan oleh Pengarah Komunikasi BN, Shamsul Anuar Nasarah yang menafikan semua dakwaan dalam surat berkenaan dengan berkata ia adalah usaha jahat pihak tertentu untuk memburukkan UMNO.

Calon BN lain seperti Khairy Jamaluddin turut menafikan aku janji itu dengan mengatakan bahawa mereka hanya menandatangani aku janji BN yang menetapkan mengenai larangan lompat parti dan kesetiaan kepada BN.

Kata calon Parlimen Sungai Buloh itu, tiada tanda tangan dengan kepala surat UMNO seperti yang heboh diperkatakan.

Zahid turut memberi respons dengan mendakwa pihak lawan begitu terdesak menabur fitnah dan menjadikan surat itu sebagai bahan kempen. Satu laporan polis pun sudah dibuat, manakala SPRM sedang menyiasat kesahihan aku janji tersebut.

Bagi Tok Chey, biarlah pihak berkuasa tentukannya dan setiap parti yang bertanding perlu menggunakan cara kempen yang sihat untuk memenangi PRU15. Dedahkan fakta supaya rakyat dapat menilai perkara yang sebenarnya.

Sama ada benar atau palsu, sama-sama kita tunggu siasatan pihak berkuasa.

Presiden PKR, Datuk Sri Anwar Ibrahim

Selain aku janji ini, satu lagi isu yang kuat diperkatakan ialah mengenai pakatan sulit Zahid- Anwar untuk membentuk kerajaan selepas PRU15. Rakyat sebenarnya ingin tahu perkara sebenar adakah ia akan berlaku atau sekadar dakwaan semata-mata.

Walaupun Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengatakan yang dia akan menjadi orang pertama menentang pakatan itu, rakyat sebenarnya ingin tahu penjelasan isu itu daripada mulut Zahid dan Anwar sendiri.

Ini kerana, pada bulan lalu sudah ada permintaan daripada Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan supaya Zahid dan Anwar menjelaskan mengenai pakatan sulit tersebut. Begitu juga dengan audio tular perbualan Zahid- Anwar yang masih belum dinafikan Zahid tetapi telah diakui pemimpin UMNO bahawa perbualan itu sememangnya benar.

Terkini, Annuar Musa dalam warkah terbuka di Facebook berkata, bekas Ahli Parlimen UMNO yang tidak terpilih untuk bertanding kali ini perlu reda dan mengakui ia adalah harga yang perlu dibayar kerana menentang beberapa rancangan Zahid.

Kata Annuar, mereka sebelum ini pernah menggagalkan rancangan yang tidak menguntungkan UMNO seperti usaha Zahid menaikkan Anwar sebagai PM.

Namun sehingga kini belum ada sebarang penjelasan berhubung persoalan tersebut yang mengukuhkan pandangan ‘ada sesuatu’ antara Zahid dan Anwar. Sewajarnya mereka berterus-terang dengan pengundi masing-masing apakah rancangan yang ingin mereka lakukan.

Pengundi atas pagar pun ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku kerana jangkaan pada ketika ini tiada satu gabungan pun yang mampu mendapat undi ‘solid’ untuk membentuk kerajaan. Maka kemungkinan wujud pakatan kerjasama politik antara parti-parti selepas PRU15 sentiasa terbuka luas.

Nyatakan dengan jelas strategi mereka supaya mudah bagi rakyat untuk membuat pertimbangan di peti undi pada 19 November ini.

Pada pandangan Tok Chey, jika Zahid dan Anwar mempunyai alasan yang kukuh untuk bekerjasama, maka eloklah dinyatakan secara terang-terangan supaya tidak ada persepsi yang bukan-bukan.

Lagipun apa salahnya mereka mewujudkan kerjasama kerana Zahid amat menghormati Anwar sebagai cikgunya yang merupakan satu-satunya pemimpin yang masih belum dapat menjadi Perdana Menteri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here