PERIKATAN Nasional (PN) telah membuktikan kepada rakyat dan dunia bahawa Malaysia berjaya mengharungi krisis paling mencabar, yang tidak pernah dihadapi oleh kepimpinan mana-mana negara pada zaman moden ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sehubungan itu mengingatkan bahawa kejayaan kerajaan PN perlu menjadi rujukan rakyat, khususnya pengundi, dalam membuat keputusan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November ini.

Menurutnya, beliau mengangkat sumpah Perdana Menteri tatkala kerajaan PN mengambil alih tampuk pentadbiran negara dalam keadaan musibah yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara sejak merdeka.

“Jutaan manusia di seluruh dunia meninggal dunia akibat wabak Covid-19, termasuk ribuan mangsa di Malaysia, Dengan situasi yang luar biasa, saya berfikir kenapa Allah melantik saya dan meletakkan ke satu darjat yang tinggi ketika itu.

“Bila mana saya diangkat sebagai Perdana Menteri, saya berfikir apa yang penting yang harus kita lakukan… itu semua berada dalam gelap dan kepala saya setiap saat berfikir kenapa Allah mengangkat kita ke satu darjat yang tinggi ini.

“Bukan saya sahaja tetapi yang lain juga diangkat menjadi pemimpin. Namun yang paling penting yang kita harus ingat ialah ini suatu amanah. Amanah yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita sebagai pemimpin, suatu tanggungjawab yang cukup berat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Jelajah Prihatin PN Parlimen Sepang di Dataran Sadiman, Bukit Changgang, di Sepang, malam tadi.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu turut menceritakan bagaimana kerajaan PN ketika itu berusaha untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat Malaysia, dan pada masa sama memastikan kedudukan ekonomi negara tidak musnah.

“Saya bukan nak mengatakan diri saya bagus… (tetapi) keupayaan seseorang pemimpin boleh dilihat waktu mana dia berhadapan dengan krisis. Waktu mana yang paling sukar, waktu krisis di situ dia (pemimpin) dicabar.

“Berupaya ataupun tidak dalam menguruskan hal-hal di waktu yang agak sukar dan luar biasa… yang paling utama bagaimana nak menguruskan soal nyawa manusia… bukannya 100 atau 200 ribu, tapi berpuluh-puluh juta termasuk rakyat asing di Malaysia.

“Jadi itu sebagai satu cabaran yang paling hebat, dan dengan kerana tindakan yang diambil kerajaan Perikatan Nasional… kami telah berjaya menguruskan soal yang amat besar dalam sejarah kita untuk mendapatkan vaksin, menguruskan nasib rakyat yang terkesan jumlahnya berjuta-juta,” katanya.

Namun Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata ramai yang berkata kerajaan telah gagal – merujuk kepada kempen parti politik lawan termasuk UMNO dan Pakatan Harapan (PH) untuk mewujudkan keadaan tidak tenteram dalam negara.

“Banyak orang kata kerajaan gagal. Saya tak tahu macam mana orang pertimbangkan apa yang telah pun kita lakukan itu sebagai kegagalan. Kerana dalam laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyebutkan bahawa Malaysia adalah antara negara yang terbaik dalam soal pengurusan Covid-19.

“Dan terbukti sekarang ini… keadaan dalam negara telah berubah… alhamdulillah… rakyat kembali bekerja dan ekonomi telah mula bergerak semula,” tambahnya lagi.

Muhyiddin berkata mungkin ramai yang telah lupa bagaimana kerajaan PN menangani masalah rakyat ketika pandemik Covid-19, termasuk mengeluarkan pakej bantuan berjumlah RM530 bilion.

“Mungkin orang tak sedar kita berhadapan dengan satu krisis. Oleh itu, saya nak sebutkan.. saya nak mengingatkan bahawa bila pilihan raya sampai pada 19 November akan datang… maka pilihlah parti yang telah pernah menjadi kerajaan yang membantu dan tahu masalah rakyat.

“PN tahu tentang isu negara dan tindakan yang hendak diambil bukan boleh main-main. Mesti mengambil tindakan yang luar biasa dengan secepat mungkin.

“Saya gambarkan itu bermakna kita berada dalam situasi yang agak sukar kita masih belum pulih, lebih teruk lagi disebutkan tahun hadapan dunia akan berhadapan dengan soal kemelesetan,” katanya lapor portal BeritaBersatu.

Sehubungan itu, Muhyiddin menyeru pengundi supaya keluar beramai-ramai pada 19 November ini dan memilih Perikatan Nasional menjadi kerajaan demi membela nasib rakyat, dan memulihkan negara.

Kerana kerajaan Perikatan Nasional telah membuktikan kami boleh melakukan demi rakyat dan negara, walaupun ketika berdepan krisis yang paling teruk dalam sejarah, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here