PRU-15: MUDA tanding guna logo sendiri, kerusi Muar diketahui Rabu

BUAT julung kalinya, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) akan mempertaruh calonnya di tiga kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan menggunakan logo sendiri.

Timbalan Presiden MUDA Amira Aisya Abd Aziz berkata parti itu akan bertanding di kerusi Parlimen Kepala Batas, Tanjong Karang dan Tanjung Piai.

Tanpa menyebut jumlah kerusi yang diperuntuk kepada MUDA melalui rundingan bersama Pakatan Harapan (PH), beliau berkata calon bagi beberapa kerusi lain akan diumumkan dalam tempoh terdekat termasuk di Sabah pada Selasa ini.

Pengarah Pilihan Raya MUDA itu mengumumkan Ketua Parlimen MUDA Pulau Pinang Danial Abdul Majeed akan bertanding di Kepala Batas manakala Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA Siti Rahayu Baharin di Tanjong Karang dan pengasas bersama MUDA Lim Wei Jiet di Tanjung Piai.

Amira Aisya berkata rundingan MUDA bersama PH petang tadi telah memuktamadkan tiga perkara utama di bawah pakej pakatan pilihan raya termasuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri ke-10.

“Juga dipersetujui pastikan bahawa tiada pertembungan mana-mana kerusi antara PH dan MUDA bagi memenangi PRU15 dan MUDA diberi fleksibiliti untuk menggunakan logo parti sendiri,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu di sini malam ini.

Beliau juga berkata parti itu akan menggunakan manifesto yang sama dengan PH untuk meraih undi pada PRU15.

Katanya kesemua kerusi yang bakal ditandingi parti itu adalah di kawasan luar bandar dan kerusi ‘gergasi’ yang disandang oleh menteri atau timbalan menteri Barisan Nasional (BN).

Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula berkata beliau akan membuat pengumuman berhubung status kerusi Parlimen Muar yang disandangnya pada Rabu depan susulan keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang memerintahkan beliau membela diri atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.

“Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, saya menghormati institusi kehakiman dan telahpun menyarankan kepada penyokong MUDA untuk memberi penghormatan tertinggi kepada institusi kehakiman negara… Berkenaan status di Muar, nantikan pengumumannya pada Rabu,” katanya.

Pada PRU14, Syed Saddiq yang merupakan calon PH daripada Bersatu menewaskan penyandang kerusi Parlimen Muar Datuk Seri Razali Ibrahim (BN) dan Abdul Aziz Talib (PAS) dengan majoriti 6,953 undi.

Mengenai rundingan bersama PH, beliau berkata rumusan pengagihan kerusi telah diputuskan secara baik dan jumlah kawasan yang ditandingi akan diumumkan dalam masa terdekat.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga berkata setiap calon yang diketengahkan oleh MUDA dikehendaki mengisytiharkan aset untuk ketelusan dalam memastikan niat bertanding adalah tidak bersandarkan kepada politik kuasa, wang serta kontrak.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 Nov sebagai tarikh pengundian bagi PRU15 manakala 5 Nov sebagai penamaan calon dan pengundian awal pada 15 Nov. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *