SEPASANG suami isteri yang menjadi dalang memproses serta mengedar dadah jenis heroin ditahan polis dalam dua serbuan di Gelugor dan Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Selasa lalu.
Dalam serbuan itu, polis turut membongkar makmal memproses heroin yang didalangi pasangan suami isteri berkenaan di sebuah rumah kampung yang disewa suspek di Kampung Bukit, Bayan Lepas.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam operasi itu polis turut merampas heroin seberat 4,530 gram; pil yaba (309.54 gram); kafein (14,880 gram) dan peralatan memproses dadah dianggarkan bernilai RM81,330.
Menurut beliau, pasangan suami isteri warga tempatan dan warga asing berusia 43 dan 30 tahun itu di tepi jalan di Gelugor pukul 8.30 malam.
Ketika ditahan katanya, polis menjumpai empat peket plastik berisi dadah seberat 1,810 gram bernilai RM24,250 bersama suspek.
“Hasil soal siasat kemudiannya membongkar makmal memproses dadah di rumah yang disewa suspek yang mana pelbagai jenis dadah, bahan kimia dan peralatan untuk menghasilkan heroin dijumpai di rumah berkenaan.
“Makmal itu sudah beroperasi sejak Januari lalu dan suspem juga disyaki menambah pil yaba di dalam heroin yang diproses ini untuk meningkatkan kekuatan heroin yang dihasilkan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya hari ini.
Tambahnya, siasatan mendapati sindiket itu memasarkan heroin yang dihasilkan untuk pasaran tempatan dan pihaknya masih menyiasat bagaimana mereka boleh menghasilkan dadah tersebut.
Ujar beliau, ujian awal air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau manakala isterinya negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah.
“Kedua-dua tangkapan ditahan reman enam hari dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada formula dadah serta bahan mentah bagi menghasilkan heroin itu diperoleh daripada sindiket lain,” katanya.
Tambah beliau, dalam operasi sama polis turut menyita sebuah kenderaan menjadikan nilai rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM108,330.
Leave a Reply