SELEPAS 24 jam mengumumkan pendirian untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini menjelaskan kenapa Pas menolak sekeras-kerasnya kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan menangguhkan kerjasama dengan BN.

Ketika membuat penjelasan itu pada majlis kuliah beliau di Marang, Terengganu, Presiden Pas itu berkata, orang Pas perlu faham kenapa parti itu bekerjasama dengan PN dan menolak PH dan BN.

Abdul Hadi berkata, dalam PH  terdapat pelbagai kegelapan melibatkan pelbagai golongan seperti DAP, anti-Islam, LGBT, Komunis, pengkhianat serta pemberi dan penerima rasuah.

 ‘’Di dalamnya ada DAP, ada parti orang Melayu,puak tolak Islam,puak LGBT,puak komunis, puak khianat, puak pemberi rasuah dan penerima rasuah. Puak yang beri rasuah,tolong PH, yang terima rasuah ada juga…puak komunis pun ada, puak tolak raja pun ada,’’ dakwanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mendakwa, PH bercakap menentang rasuah tetapi mendapat sumbangan pemberi rasuah.

‘’LGBT dia tak lawan, kemungkaran tak lawan, dok senyap saja..(dok kata) UMNO rasuah…betul rasuah…(tapi) tak kan rasuah sahaja lain tak lawan….maka Pas tidak terima PH,’’ katanya.

Mengenai kerjasama dengan BN, Abdul Hadi berkata, langkah itu ditangguhkan kerana mendakwa di dalam BN masih ada ‘keruh’.

‘’Kekeruhannya apa? Penerima rasuah tak selesai lagi,kita tahu ada penerima rasuah, ada dituduh, tak bersalah, difttnah macam-macam tapi tak selesai lagi…penerima rasuah ada dalam BN, kemudian cuai melaksanakan Islam, dia orang Islam dia memerintah kat 50 tahun, cuai bela Islam, melemahkan Islam, ini kecuaian dia, zalim..kena nak laksanakan Islam di Kelantan dan Terenganu dia rampas royalti,’’ katanya.

Abdul Hadi juga menegur sikap segelintir pemimpin dan ahli Pas yang tidak sabar mahu bekerjasama dengan UMNO.

‘’Kita tak bersama dengan BN kerana ada keruh keruh masih ada penerima rasuah lepas itu, rakus pulak nak memerintah lagi, tak selesai masalah  nak memerintah lagi, kita baru tolong, Pas tolong untuk jatuhkan PH, jadi kerajaan PN, Pas bersama parti Bersatu bersama UMNO tubuh kerajaan, dalam UMNO ada yang tak sedar…bukan kita hendak bermusuh kita tak bermusuh tetapi kerana ada keruh.

 ‘’Kerana ada keruh kita tangguh dulu..dengan itu kita ambil pendekatan untuk menjernihkan keadaan..

Banyak orang datang memujuk saya macam-macam pihak, setinggi-tinggi hingga serendah-rendah mari pujuk saya gabung dengan BN. Saya kata fikir-fikir dululah.

“Mengapa kita tangguh dulu kerana ada kekeruhan, kita jernih keadaan dulu, kita gabung dengan PN, kita tolak yang terima rasuah, kita tolak beri rasuah amal… makruf nahi mungkar,’’ katanya.

Beliau berkata, walaupun Pas akan menghadapi kesukaran dan lebih mudah menang bersama dengan UMNO namun ahli Pas tidak boleh gopoh.

‘’Walaupun ini lebih payah, lebih senang dengan UMNO boleh menang cepat,  orang ramai sokong tapi kita tak gopoh, macam buah durian..jangan kait cepat sangat..kalau kait cepat sangat tak masak lagi, kembung perut, bagi masak betul-betul dulu.

‘’Saya tahu ada orang Pas ini, tak tahan liur, nak makan peringat durian..durian mentah lagi, kena sabar dulu, kena masak molek dulu, ada ni..bukan yang jahil…yang alim pun ada.. dia tak boleh baca politik..saya boleh baca politik, saya mengaji politik, ada yang alim dia tak baca politik, dia baca kitab aje,’’ katanya.

Beliau menyifatkan, tindakan membubar Parlimen sebagai tindakan gopoh dan mahu berkuasa, biarpun negara akan berhadapan dengan musim banjir.

‘’Gopoh sangat nak kuasa, orang kata nak musim banjir, bubar parlimen jugak, sebab nak  menang deras, nak dapat kuasa, ajak Pas ikut sama, pas tangguh dulu..kita sabar…terpaksa hadapi pilihan raya, hadap pilihan raya, usahakan jernih keadaan cegah pemberi penerima rasuah, tunai tanggungjawab mengundi,’’ katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here