SEMALAM, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan media menjelaskan, kenapa beliau memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Antara alasan itu, tindakan 12 menteri menunjukkan sikap tidak wajar mengutuskan warkah kepada Seri Paduka, ada jemaah menteri membuat kritikan secara terbuka terhadap keputusan dan dasar kerajaan, tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan musuh utama PN adalah Barisan Nasional (BN) dan Muhyiddin menyarankan agar Parlimen dibubarkan kerana mendakwa kerajaan gagal dalam menguruskan negara dan ekonomi dengan baik.

Tidak mengapalah itu alasan Ismail Sabri memandangkan beliau mungkin terasa bahang berikutan kemarahan rakyat selepas memohon Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU-15, ketika negara berhadapan musim tengkujuh.

Tetapi alasan Ismail Sabri tidak akan mampu menutupi fakta bahawa desakan atau alasan pembubaran Parlimen bukan sehari dua ia tercetus. Yang beria-ia mahukan PRU-15 bukan 12 Menteri itu, yang memberi tekanan dari semasa ke semasa kepada Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen bukan Muhyiddin, yang berkata, inilah masa terbaik untuk mengadakan pilihan raya kerana pembangkang tengah lemah bukanlah mereka yang meratib soal kerajaan pintu belakang atau kerajaan tebuk atap.

Jadi siapa mereka?

Imbas kembali, pada 30 September lalu  MKT UMNO bersetuju Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, bagi membolehkan PRU-15 diadakan tahun ini juga.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan keputusan itu, Ismail Sabri akan mempersembahkan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertua Agong selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum itu, pada 18 Mac 2022, Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berkata;

UMNO sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab mempunyai kuasa untuk menentukan arah tuju parti sendiri dalam mendepani PRU-15 meskipun kuasa membubarkan Parlimen adalah keputusan Kabinet.

Katanya, UMNO adalah sebuah parti yang menjunjung Perlembagaan negara apabila memahami bahawa kuasa untuk membubarkan Parlimen adalah keputusan Kabinet apabila Perdana Menteri yang akan berurusan dengan memohon perkenan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Kita tidak mahu mengganggu urusan itu. Tetapi, UMNO sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab, kita ada kuasa untuk menentukan arah tuju parti kita sendiri. Jadi hendak tunggu apa lagi, bubarkan Parlimen,” katanya dalam ucapan dasar pada  Perhimpunan Agung UMNO 2021.

Pada 20 Ogos, beberapa Jam selepas Ahmad Zahid menggesa PRU-15 diadakan segera bagi menggelakkan BN tewas, Ismail Sabri menegaskan, pembubaran Parlimen tergesa-gesa ibarat ‘perbuatan bunuh diri’.

 Perdana Menteri berkata, tiada guna beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sedangkan BN belum tentu boleh menang.

 “Jika kita adakan PRU15 tanpa mengambil kira sama ada BN boleh menang tiada gunanya. Bagi saya jika nak adakan PRU15 kita wajib menang jangan jadi macam PRU14 kita kata menang tapi akhirnya kalah teruk. Kalau nak sedap kita kena jadi Perdana Menteri, kalau saya jadi Ketua Pembangkang semula tidak sedap,” katanya.

Pada 17 September,  “Kita tidak ada masalah peribadi atau politik dengan PM, asalkan PRU dibuat tahun ini juga”, kata Ahmad ketika menyampaikan ucaptama dalam Pelancaran Jentera Pemuda BN.

Zahid turut menegaskan Barisan Nasional bersedia berhadapan pilihan raya umum walaupun di musim tengkujuh.

“Kita sedang menunggu tarikh keramat pembubaran parlimen. Namun kita tahu ada kekangan, akhir tahun ada banjir, ada hujan lebat, ada Monsun Timur laut. Tetapi Kalau PM bubar, masa banjir pun kita sanggup redah banjir untuk berkempen,”katanya.

Berdasarkan kenyataan pada tarikh-tarikh tersebut, tindakan Ismail Sabri menuding jari kepada Muhyiddin dan PN sebagai punca Parlimen terpaksa dibubarkan hanya akan menyebabkan beliau dianggap sekadar mencari alasan.

Perlu dingatkan, surat 12 menteri itu pada 6 Oktober lalu, adalah bagi menyatakan mereka tidak bersetuju PRU-15 diadakan dengan memberi alasan-alasan yang pada pandangan penulis itulah sentimen rakyat sekarang apabila Perdana Menteri mengumumkan pembubaran Parlimen.

Di dalam surat itu tidak dinyatakan sama sekali bahawa kesemua menteri berkenaan menarik sokongan kepada Perdana Menteri seperti mana pernah dilakukan oleh 15 Ahli Parlimen UMNO ke atas Muhyiddin pada Ogos tahun lalu sehingga beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Jadi soal keabsahan tidak sepatutnya ditimbulkan.

Begitu juga apabila Ismal Sabri mengaitkan Muhyiddin. Tetapi cuba fahami apa yang bekas Perdana Menteri itu catatkan dalam Facebook beliau pada 19 September lalu. Beliau berkata, situasi pengurusan ekonomi dan negara pada masa kini agak meruncing.

“Saya belum sampai ke tahap mahu mendesak Perdana Menteri supaya membubarkan Parlimen. Tetapi saya pun terfikir, jika Perdana Menteri terus gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik, eloklah pilihan raya diadakan supaya sebuah kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat,” tegas beliau.

Setakat itu sahaja Muhyiddin MENGINGATKAN, tidak ada pun selepas itu beliau membuat gerakan untuk menarik sokongan terhadap Perdana Menteri dan tidak adapun beliau sebagai Pengerusi PN membuat kenyataan di mana-mana platform desak PRU diadakan.

Dalam soal menteri mengkritik dasar kerajaan secara terbuka, penulis tidak pasti siapa yang Ismail Sabri maksudkan kerana tidak dinyatakan dalam kenyataan media beliau manakala dalam tindakan Muhyiddin mengisytiharkan musuh utama PN adalah BN, Ismail Sabri mungkin terlupa, Perhimpunan Agung UMNO terlebih dahulu memutuskan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15.

Kesimpulannya, pembubaran Parlimen bukan disebabkan oleh Muhyiddin dan PN, yang mendesak bagai ‘nak rak’ supaya Parlimen dibubarkan bukan PN, yang berkata,’’Jadi hendak tunggu apa lagi, bubarkan Parlimen …’’ bukan Muhyiddin dan yang memutuskan PRU-15 perlu diadakan pada tahun ini juga bukan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu atau PN.

Jadi siapa punca sebenar Parlimen dibubarkan? Semua orang tahu, mungkin Ismail Sabri sahaja ingat orang tak tahu. Fikirkanlah…

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here