DATUK Seri Ismail Sabri dikatakan akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membubarkan Parlimen sebelum pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat ini.
Berita Harian dalam laporannya yang memetik sumber berkata, Perdana Menteri yang dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Khamis ini untuk memberi taklimat mengenai bajet dikatakan akan turut memohon perkenan baginda membubarkan Parlimen untuk memberi laluan bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Sumber berkata, langkah itu bagi membolehkan PRU-15 lebih awal bagi mengelak ia diadakan ketika musim tengkujuh dan banjir yang dijangka bermula pertengahan November ini.
Menurut sumber itu, jika diperkenankan, pembentangan bajet tidak akan dibentangkan Jumaat ini seperti dijadualkan dalam takwim Dewan Rakyat.
Katanya, langkah PRU-15 diadakan seawal mungkin kerana Perdana Menteri dan UMNO menerima tekanan daripada hampir semua parti bukan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan dan pembangkang supaya pilihan raya tidak diadakan tahun ini atas alasan banjir yang akan membebankan rakyat serta risiko keselamatan.
Malah, satu sumber lagi menyatakan PRU-15 mungkin diadakan pada akhir bulan ini atau awal November. Difahamkan, Top 5 UMNO sudah menetapkan tarikh untuk PRU-15 dan hanya menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.
Sementara itu, seorang Ketua Bahagian UMNO yang menghadiri taklimat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) petang tadi, mengesahkan Ismail Sabri yang akan menghadap Al-Sultan Abdullah pada Khamis ini turut akan memohon perkenan baginda membubarkan Parlimen.
Katanya, pada sesi taklimat itu , semua 191 ketua bahagian dimaklumkan PRU-15 akan diadakan selewat-lewatnya minggu pertama November. Susulan itu, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang dijadual 23 hingga 26 November ini ditangguhkan sehingga ke tarikh ditentukan kemudian.
“Pada sesi taklimat petang tadi, UMNO masih mengekalkan Ismail Sabri sebagai ‘poster boy’ BN pada PRU-15 dan calon Perdana Menteri jika parti itu menang,” katanya.
Desas-desus mengenai pembubaran Parlimen itu diperkuatkan dengan kenyataan Ahmad Zahid petang tadi yang antara lain meminta PAS memutuskan secepat mungkin sama ada mahu bekerjasama dengan UMNO bagi menghadapi PRU-15.
“Seawal mungkin, jika tidak kami (BN) akan bergerak solo,” katanya selepas perjumpaan khas bersama pemimpin UMNO peringkat bahagian di WTCKL, hari ini.
Pada sidang media sama, Ahmad Zahid mahu semua perhubungan negeri mengemukakan nama calon kepada lima kepemimpinan tertinggi atau ‘Top 5’ bagi penentuan calon UMNO yang memenuhi kriteria ‘WALI’ bermula Isnin depan.
Katanya, tiga kriteria calon ditetapkan iaitu kebolehmenangan (winnable), kebolehterimaan (acceptable) dan disenangi (likeable) pengundi.
Usaha untuk mempercepatkan pembubaran Parlimen dipercayai ada kaitan dengan pendirian Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang menjadi sebahagian kerajaan sekarang yang tidak mahu PRU-15 tahun ini.
Dalam satu kenyataan petang tadi, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin tegas dengan pendirian supaya PRU-15 tidak diadakan pada tahun ini memandangkan Monsun Timur Laut akan bermula tidak lama lagi dengan banjir dijangka melanda negara terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan berasingan turut menyatakan pandangan sama bahawa pembubaran Parlimen dalam tempoh terdekat adalah tidak wajar dan tindakan itu tidak perlu disegerakan kerajaan ketika ini.
Katanya, pandangan itu selepas mengambil kira faktor pemulihan ekonomi dan jangkaan musim tengkujuh yang menyukarkan rakyat serta jentera kerajaan.
Menurut laporan media, beberapa pemimpin PH termasuk Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar dan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang turut meramalkan Parlimen akan dibubarkan sebelum pembentangan Bajet 2023.
Leave a Reply