Rasuah membimbangkan, Pulau Pinang perlu terima positif

KERAJAAN negeri Pakatan Harapan (PH) – DAP Pulau Pinang diharapkan tidak terlalu ‘defensif’ dan sewajarnya menerima secara positif kenyataan berkaitan isu rasuah dalam kalangan penjawat awam di negeri itu yang disifatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahap membimbangkan kini.

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) dalam satu kenyataan berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sepatutnya mengatur pelbagai langkah bagi memastikan masalah rasuah dapat dicegah dengan segera daripada terus merebak di negeri itu.

Jelasnya, MCW berpendapat kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkenaan situasi gejala rasuah di Pulau Pinang tersebut pasti mempunyai asas dan fakta.

“Pelbagai kes yang telah dilaporkan pastinya sedang disiasat dengan teliti dan ada yang telah serta akan dibawa ke mahkamah dalam masa yang terdekat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Azam mendedahkan, sebanyak 919 aduan diterima SPRM berhubung kesalahan menerima suapan, salah guna kuasa dan membuat tuntutan palsu dalam kalangan penjawat awam di Pulau Pinang sejak 2019 sehingga kini.

Daripada jumlah itu menurut Azam, sebanyak 312 aduan melibatkan kes menerima suapan manakala salah guna kuasa (147 kes).

Dalam pada itu kenyataan tersebut menambah, masalah rasuah adalah masalah sejagat terutama di negeri yang maju kerana peruntukan atau jumlah perbelanjaan yang besar pasti akan membuka ruang serta peluang untuk berlakunya rasuah.

Jelasnya, ekonomi yang berkembang pesat di Pulau Pinang adalah antara faktor penting yang mendorong rasuah semakin membimbangkan di negeri itu.

Tambah kenyataan itu lagi, MCW berharap SPRM meneruskan usaha yang agresif untuk membanteras rasuah di semua negeri demi memastikan masalah itu dikawal terutama dalam sektor awam.

Malah katanya, segelintir penjawat awam kelihatan semakin berani melakukan rasuah akibat ketidakstabilan politik pada masa ini.

“Hakikat rasuah di Malaysia termasuk di Pulau Pinang adalah seperti kanser yang sedang merebak adalah rahsia umum yang telah diketahui oleh segenap lapisan rakyat.

“Pelbagai kaedah pencegahan kelihatan kurang berkesan kerana ketamakan telah mengatasi prinsip kehidupan yang berintegriti,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *