MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu, sejumlah RM90.89 juta dimasukkan ke dalam akaun peribadi AmIslamic Bank milik Datuk Seri Najib Razak melalui dua transaksi pada Oktober dan November 2012.
Berita Harian melaporkan, perkara itu dinyatakan saksi ke-37 pendakwaan yang juga Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan, R Uma Devi, ketika beliau dirujuk penyata akaun bekas Perdana Menteri itu membabitkan akaun peribadinya yang berakhir dengan nombor 694.
Uma Devi yang membacakan penyataan saksinya berkata, kedua-dua transaksi terbabit adalah kemasukan wang RM15,149,963.64 yang direkodkan pada 31 Oktober dan RM75,749,963.64 pada 20 November 2012.
Beliau berkata demikian pada sesi pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Najwa Bistamam, pada perbicaraan kes rasuah serta pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib.
Dalam penyataan pembukaan pada 2019, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, Najib yang bertindak melalui ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, mengambil langkah positif dan menyebabkan 1MDB terbabit dalam dua transaksi di mana tertuduh didakwa memperoleh sejumlah RM90,899,927.28.
Transaksi itu adalah berkaitan perkara dalam pertuduhan kedua yang dihadapi oleh Najib, membabitkan pengambilalihan aset dengan nilai yang diragui oleh 1MDB.
Leave a Reply