Tag: kes rasuah 1MDB

  • RM2.08b daripada sembilan transaksi masuk akaun Najib

    RM2.08b daripada sembilan transaksi masuk akaun Najib

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu, akaun peribadi AmIslamic Bank milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menerima kemasukan wang berjumlah RM2.08 bilion melalui sembilan transaksi pada 2013.

    Lapor Berita Harian, Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan R Uma Devi, yang juga saksi ke-37 pendakwaan mengesahkan kemasukan wang itu ke dalam akaun Najib dengan nombor akaun 211-202- 200969-4 (AM Private Banking MR) pada Mac dan April 2013.

    Beliau yang dirujuk dengan dokumen penyata akaun itu mengesahkan, wang sebanyak RM155 juta dimasukkan ke dalam akaun itu melalui tiga transaksi pada 22 Mac 2013, RM188 juta (26 Mac 2013), RM231 juta dan RM138.8 juta (28 Mac 2013), RM152.5 juta (8 April 2013), RM304 juta (9 April 2013) dan RM602 juta (10 April 2013)

    Wang yang diterima itu berkaitan dengan tuduhan ketiga terhadap Najib iaitu sebagai pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi 1MDB, menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan berjumlah RM2.08 bilion.

    Saksi itu berkata, antara 2 hingga 23 Ogos 2013, Najib mengeluarkan sejumlah RM2.03 bilion daripada akaun terbabit.

    Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, melalui pernyataan pembukaan sebelum ini berkata, sembilan pertuduhan pertama ke atas Najib membabitkan kes pengubahan wang haram yang berkait dengan penerimaan RM2.08 bilion ke dalam akaunnya.

    Katanya, antara 2 hingga 23 Ogos 2013, tertuduh memindahkan RM2.03 bilion ke Tanore Singapore dan baki RM22.6 juta digunakan untuk membayar empat entiti dan seorang individu.

    Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam, Uma Devi berkata, hanya Najib mendapat keistimewaan menukarkan akaunnya dengan nombor berakhir 694 dan 889 kepada kod selepas mendapat kelulusan pihak pengurusan atasan bank.

    Beliau berkata, Ahli Parlimen Pekan itu bertanggungjawab terhadap akaun itu seperti termaktub pada terma pembukaan akaun, yang mana hanya Pengurus Perhubungan dan Pengurus Cawangan bank boleh mendapatkan akses kepada akaun berkenaan.

    Dalam perbicaraan sebelum ini, Uma Devi berkata, Najib memiliki lima akaun di AmIslamic iaitu akaun semasa 211-202-201188-0 dengan kod AmPrivate Banking – 1MY, 211-202-201189-8 (AmPrivate Banking – Y1MY) dan 211-202-201190-6 (AmPrivate Banking – MY) manakala dua lagi akaun dengan nombor 211-202-200969-4 dan 211-002-009048-1 (akaun simpanan).

    Najib, 69, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

  • RM90.89 juta masuk akaun peribadi Najib – Saksi

    RM90.89 juta masuk akaun peribadi Najib – Saksi

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu, sejumlah RM90.89 juta dimasukkan ke dalam akaun peribadi AmIslamic Bank milik Datuk Seri Najib Razak melalui dua transaksi pada Oktober dan November 2012.

    Berita Harian melaporkan, perkara itu dinyatakan saksi ke-37 pendakwaan yang juga Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan, R Uma Devi, ketika beliau dirujuk penyata akaun bekas Perdana Menteri itu membabitkan akaun peribadinya yang berakhir dengan nombor 694.

    Uma Devi yang membacakan penyataan saksinya berkata, kedua-dua transaksi terbabit adalah kemasukan wang RM15,149,963.64 yang direkodkan pada 31 Oktober dan RM75,749,963.64 pada 20 November 2012.

    Beliau berkata demikian pada sesi pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Najwa Bistamam, pada perbicaraan kes rasuah serta pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib.

    Dalam penyataan pembukaan pada 2019, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, Najib yang bertindak melalui ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, mengambil langkah positif dan menyebabkan 1MDB terbabit dalam dua transaksi di mana tertuduh didakwa memperoleh sejumlah RM90,899,927.28.

    Transaksi itu adalah berkaitan perkara dalam pertuduhan kedua yang dihadapi oleh Najib, membabitkan pengambilalihan aset dengan nilai yang diragui oleh 1MDB.