KEPUTUSAN sama ada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan dibebaskan atau diperintah membela diri terhadap 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), diketahui hari ini.

Jika mahkamah memutuskan bahawa kes prima facie berjaya diwujudkan oleh pendakwaan, mahkamah akan mengarahkan Presiden UMNO itu membela diri terhadap tuduhan berkenaan, dan jika sebaliknya, Ahmad Zahid akan dilepas dan dibebaskan.

Berikut kronologi kes membabitkan Ahmad Zahid yang disediakan Astro Awani.

KRONOLOGI KES:

1 September 2022:
Pihak pembelaan mendakwa 40 pertuduhan menerima suapan membabitkan VLN yang dihadapi oleh Ahmad Zahid jelas menunjukkan wujud pendakwaan terpilih dan tiada kes prima facie.

11 Ogos 2022:
Pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 18 saksi untuk memberi keterangan.

24 Mei 2021:
Perbicaraan kes rasuah bekas bermula di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

31 Julai 2019:
Mahkamah membenarkan permohonan presiden UMNO itu untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi dibicarakan bersama-sama 33 lagi pertuduhan rasuah membabitkan VLN.
Kesemua kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicarakan bersama.

26 Jun 2019:
Ahmad Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tujuh pertuduhan menerima rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).
Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.
Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau ketika itu.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa melakukan semua kesalahan berkenaan di Sri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here