SEORANG pekerja yang dalam perjalanan dari kampung halamannya ke tempat kerja di bandar lain layak bagi tuntutan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kerana dianggap membuat “perjalanan kerja”, putus Mahkamah Rayuan.
Memetik laporan Free Malaysia Today, panel tiga hakim semalam memutuskan bahawa kecederaan yang dialami oleh N Sathiaseelan dalam kemalangan pada Ahad dianggap sebagai kecederaan pekerjaan bawah Seksyen 24(1)(a) Akta Perkeso 1969, walaupun ia berlaku pada hari cutinya.
Keputusan penting itu dibuat sebulat suara oleh panel yang dianggotai Lee Swee Seng, Vazeer Alam Mydin Meera dan Nazlan Ghazali.
Peguam mewakili Sathiaseelan, M Manoharan berkata, Mahkamah Rayuan berpendapat bahawa Akta Perkeso harus ditafsirkan secara meluas dan bebas dalam konteks tanggungjawab sosial korporat, membolehkan pekerja membuat perjalanan ke tempat kerja mereka dari kampung halaman pada hujung minggu.
Sathiaseelan, yang bekerja sebagai juruteknik kanan di Infineon Technologies Sdn Bhd di Kulim, Kedah, terbabit dalam kemalangan ketika pulang ke tempat kerjanya pada 16 Okt 2016 selepas menghabiskan hujung minggu di rumahnya di Ipoh.
Manoharan berkata, kemalangan itu mengakibatkan juruteknik itu mengalami beberapa kecederaan dan kecacatan. Sathiaseelan memohon tuntutan hilang upaya sementara daripada Perkeso tetapi ditolak.
“Perkeso menolak tuntutannya atas alasan bahawa kecederaan yang dialami dalam kemalangan itu (tidak layak dianggap sebagai) kecederaan pekerjaan bawah akta itu,” kata Manoharan.
Beliau berkata, rayuan Sathiaseelan ditolak oleh lembaga Perkeso yang menegaskan tuntutan itu tidak sah kerana kemalangan berlaku dalam perjalanan pada hari cutinya.
Sathiaseelan kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Ipoh, seperti yang diperuntukkan bawah Akta Perkeso, tetapi rayuan tersebut turut ditolak.
“Mahkamah itu memutuskan bahawa perjalanannya pada Ahad tidak berkaitan dengan pekerjaannya, bahawa beliau tidak membuat perjalanan atas arahan majikan, dan perjalanan itu semata-mata atas sebab peribadi,” kata Manoharan.
Sathiaseelan kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan, yang menyampaikan keputusannya semalam.
Leave a Reply