SEBELUM ini UMNO Terengganu sudah menyatakan dengan tegas bahawa tiada Muafakat Nasional (MN) di negeri itu. Kelmarin Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Chik menyifatkan Pas tidak pernah serius untuk bersama UMNO, selain kekal memilih Bersatu.

Semalam pula, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, sebarang rundingan harus dilakukan secara terang dan hanya boleh menjadi sah dan (menjadi) dasar parti apabila diputuskan oleh parti.

Semalam juga akhbar Kosmo! memetik kenyataan Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad bahawa keputusan UMNO Perak untuk tidak bekerjasama dengan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah MUKTAMAD!

Kata Saarani, ‘’ “Sebagai rakan dalam kerajaan negeri kita bekerjasamalah. Untuk pilihan raya kita pergi sendiri. Muktamad!’’

Namun begitu di pihak Pas, mereka bagaikan ‘pungguk rindukan bulan’ dan paling teruk berada dalam kedudukan ‘hidung tak mancung pipi tersorong-sorong’’. Mereka dilihat sanggup membelakangkan Bersatu yang bersama-sama dalam Perikatan Nasional (PN) untuk bekerjasama dengan UMNO.

Tetapi adakah hasrat Pas itu yang bersandarkan kepada laungan penyatuan ummah disambut dengan terbuka oleh pemimpin-pemimpin UMNO?

Kajilah kenyataan demi kenyataan oleh pemimpin UMNO sejak pemimpin Pas bercakap soal ‘rundingan gelap’ dan begitu teruja mahu bekerjasama dengan parti itu. Ada pemimpin UMNO minta Pas meninggalkan Bersatu terlebih dahulu kalau mahu bersama dengan parti itu.

‘Paling trajik’ minggu lalu Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, partinya membuat keputusan untuk bergerak solo, walaupun Pas mahu mempertahankan Muafakat Nasional. Kenyataan balas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menganggap tindakan Zahid itu tidak mewakili pendirian UMNO secara keseluruhan hanya mengundang ketawa.

Zahid adalah Presiden UMNO, sudah tentulah kenyataan beliau memberi gambaran keseluruhan pendirian parti itu.

Sama juga dalam Pas pasti ada kelompok yang tidak bersetuju dengan langkah kepemimpinan parti tersebut mahu bekerjasama dengan UMNO tetapi kalau Presiden sudah membuat kenyataan, mereka pasti akan akur.

Memang benar dalam Islam soal menyatukan ummah dan mewujudkan perpaduan sesama Islam adalah amat digalakkan tetapi dalam politik kebiasaannya kekuasaan atau merebut kekuasaan lebih menjadi keutamaan.

Ketika ini pemimpin UMNO merasakan parti itu sudah kuat dan mereka tidak memerlukan Pas untuk menang selesa PRU-15. Sama ada itu fakta, khayalan atau impian…itu soal kedua.

Apa yang lebih penting Pas tidak boleh membiarkan niat murni mereka atas nama perpaduan ummah ditafsirkan hanya mencari regu yang kuat untuk bertarung dalam PRU-15. Agak mendukacitakan apabila mendengar kenyataan Hadi bahawa ‘rundingan gelap’ sedang dilakukan oleh segelintir pemimpin Pas dan UMNO.

Tetapi soalnya, bukankah dalam Islam kita juga diminta bersikap jujur dengan sekutu dan sahabat kita? Begitu juga dengan Pas, mereka berada dalam Perikatan Nasional – bukan bertaraf berada di pinggiran tetapi sama-sama menggerakkan gabungan itu bersama Bersatu dan Gerakan, tetapi kenapakah ada segelintir pemimpin Pas sanggup membelakangkan Bersatu apabila mengadakan ‘rundingan gelap’ dengan sebuah parti yang terang-terang menolak Bersatu.

Benarlah kata Tan Sri Muhyiddin Yassin, tindakan Pas menimbulkan persoalan siapa musuh PN dalam PRU-15 nanti. PN mahu menentang BN dan PH tetapi Pas pula didakwa secara senyap mengatur strategi mahu menjalin kerjasama dengan UMNO.

Kalaulah kepemimpinan UMNO merestuinya tidak mengapa jugak, sebaliknya apa yang berlaku sekarang, ia mencampakkan Pas bagaikan ‘melukut di tepi gantang’, sedangkan dalam PN, Pas dilayan dengan begitu baik sekali, amat jarang sekali kita mendengar pemimpin Bersatu mengkritik Pas apatah lagi mencerca parti itu.

Benar faktanya Pas lebih kuat daripada Bersatu tetapi itu tidak bermakna, Pas mahu melayan Bersatu ibarat ‘tiada rotan, akarpun berguna’ apabila usaha mereka bekerjasama dengan UMNO ditolak.

Penulis tidak nampak dengan barisan kepemimpinan UMNO sedia ada usaha Pas untuk bekerjasama dengan parti itu akan berjaya, sebaliknya dari semasa ke semasa, kita akan terus mendengar kenyataan-kenyataan yang memperlekehkan hasrat Pas itu.

UMNO sudah terang-terang dan secara terbuka menyatakan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15, maknanya kalau Pas membuat pendirian, ‘’kami pilih kedua-duanya, UMNO dan Bersatu’’, ia hanya akan mewujudkan kekeliruan dan kecelaruan dalam merentas perjalanan untuk menghadapi PRU-15.

Atas sebab itulah, penulis berpendapat Pas perlu memberi kepastian. Kalau benar mahu bersama UMNO, buatlah keputusan bersama UMNO begitulah juga sebaliknya dengan PN. Pas tidak boleh membiarkan orang Melayu keliru dan ‘semak otak’ memikirkan siapa lawan dan siapa kawan Pas, kesan paling buruk, Muafakat Nasional dilihat caca marba.

Oleh itu diharapkan dengan kenyataan terbaru Muhyiddin semalam sebagai Pengerusi PN yang memaklumkan rundingan Pas dengan UMNO tidak mencapai apa-apa kemajuan susulan pendirian UMNO enggan bekerjasama, ia akan menamatkan segala kekalutan yang berlaku.

Diharapkan juga Pas akan berpegang kepada pendiriannya seperti mana diulangi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN kelmarin bahawa mereka akan memperkukuhkan kerjasama dengan parti-parti anggota dalam PN.

Semoga ia akan berkekalan dan diterjemahkan dalam bentuk tindakan kerana tidak molek sebuah parti yang memperjuangkan Islam dilihat bercakap dolak-dalih dan di depan kata lain, di belakang buat lain.

Cukup-cukuplah mahu ‘memujuk’ UMNO, tumpukan usaha mengapai kejayaan bersama PN. Seperti mana kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man,’’ “Kita terbuka sekiranya orang ingin berbicara dan berunding, kita sedia bertempur dalam semua situasi kalau sekira itu menjadi pilihan.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here