AHLI Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad dan KiniTV Sdn Bhd mendapat kebenaran merayu untuk menuntut kos daripada Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman selepas saman fitnah oleh Ahli Parlimen Pasir Salak itu terhadap mereka ditolak oleh Mahkamah Tinggi, Februari lalu.
Mahkamah Rayuan dengan sebulat suara membenarkan permohonan Khalid dan portal video KiniTV dalam prosiding dalam talian hari ini.
Panel tiga hakim terdiri daripada hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md Sam, Datuk S. Nantha Balan dan hakim Mahkamah Tinggi,Datuk Lim Chong Fong memutuskan terdapat merit dalam permohonan tersebut.
Peguam Datuk Sankara Narayan dan K. Shamuga, masing-masing mewakili Khalid dan KiniTV, ketika dihubungi oleh Bernama, mengesahkan bahawa mahkamah telah memberikan kebenaran untuk merayu kepada anak guam mereka.
Bagaimanapun, seorang lagi peguam Khalid, Jaden Phoon Wai Ken, menghadiri prosiding hari ini.
Menurut Sankara, peguam Tajuddin, Muzzammil Merican, yang menghadiri prosiding tersebut, tidak membantah permohonan oleh Khalid dan KiniTV.
Susulan keputusan tersebut, Shanmuga berkata Khalid dan KiniTV mempunyai masa 14 hari untuk memfailkan notis rayuan.
Bagaimanapun, menurutnya, syarikat akhbar The New Starits Times Press (M) Berhad, yang turut dinamakan dalam saman Tajuddin itu, tidak memfailkan permohonan kebenaran merayu untuk menuntut kos.
Sementara itu, seorang lagi peguam Tajuddin, Datuk Hasnal Rezua Merican, ketika dihubungi, berkata anak guamnya tidak merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak saman fitnahnya pada 22 Feb lalu.
Saman fitnah itu ditolak tanpa sebarang sebarang perintah mengenai kos.
Pada 26 April, 2017, Tajuddin memfailkan samanh dengan mendakwa Khalid mengeluarkan dua kenyataan fitnah terhadapnya termasuk memanggilnya dengan kata-kata kesat ketika mengadakan dua sidang media di lobi Parlimen, masing-masing pada 21 dan 24 November 2016.
Tajuddin mendakwa, kenyataan pertama Khalid diterbitkan NST melalui artikel bertajuk ‘Fury over Deputy Minister’s Remark’ pada 22 November 2016 dan kenyataan kedua defendan disiarkan di KiniTV pada 24 November tahun sama.
Tajuddin mendakwa kedua-dua kenyataan itu juga diterbitkan di YouTube yang boleh diakses oleh orang ramai.
— BERNAMA
Leave a Reply