guane

SETIAP kali apabila tiba cuti umum, sama ada cuti perayaan mahupun cuti penggal persekolahan, Pulau Kapas akan terus menjadi tumpuan ramai.

Ia seperti sudah menjadi satu ‘trend’ baharu bagi rakyat di negara ini termasuk pengunjung tempatan yang mengambil peluang ke pulau-pulau peranginan untuk bercuti bersama keluarga.

Penulis perhatikan trend ini mula tercetus sebaik sahaja rakyat di negara ini bebas daripada ‘berkurung’ selepas dikenakan perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Selain pelancong asing, pulau yang terletak di daerah Marang ini sentiasa menjadi tumpuan pengunjung domestik yang datang bercuti bersama keluarga masing-masing secara balik hari.

Antara faktor utama pulau ini menjadi pilihan ramai kerana kedudukan lokasinya antara paling dekat dengan daratan iaitu hanya dua kilometer sahaja.

Suasana orang ramai yang sedang menunggu untuk ke Pulau Kapas, Marang

Manakala jarak perjalanan dengan menaiki bot laju pula ialah sekitar 15 minit sahaja.

Berdasarkan itulah, pulau ini sentiasa menjadi pilihan dan tumpuan ramai menyebabkan setiap kali tiba musim cuti umum atau cuti penggal persekolahan suasana di pulau ini akan penuh sesak dengan pengunjung.

Kebiasaannya, semua penginapan yang ada sudah penuh ditempah sejak awal lagi termasuk aktiviti selam skuba dan juga perkhemahan.

Ini menyebabkan ramai pengunjung yang pergi tanpa bermalam, iaitu pergi pagi dan pulang pada waktu petang.

Sebenarnya penulis memang agak sinonim dengan pulau Kapas di mana sejak zaman kanak-kanak lagi penulis pernah mengikuti bapa dan penduduk kampung ke pulau berkenaan untuk mengambil kelapa serta mencari rotan.

Ketika itu Pulau Kapas masih berpenghuni melibatkan beberapa keluarga golongan nelayan dan belum lagi terkenal sebagai lokasi pelancongan popular di Terengganu.

Bagaimanapun, kini semuanya telah berubah.

Sejak kebelakangan ini pulau yang suatu ketika dahulu agak sunyi dan sepi, kini sentiasa riuh rendah dengan para pengunjung.

Kenderaan terpaksa di parkir jauh daripada jeti pelancongan ekoran kenderaan sudah penuh

Malah, setiap kali kesesakan berlaku di pulau berkenaan menyebabkan ada penduduk tempatan secara berseloroh dengan mengatakan Pulau Kapas ‘senget doh’, iaitu suatu gambaran untuk mengaitkan pengunjung terlalu ramai sehingga pulau itu dikatakan hampir terbalik.

Penulis dimaklumkan bahawa kebanyakan pengunjung yang ingin ke pulau ini telah membuat tempahan bot, bilik hotel dan chalet sejak sebulan lebih awal termasuk tempahan menerusi atas talian.

Perkembangan ini turut menyebabkan keadaan di kawasan parkir pula penuh sesak dengan kenderaan termasuk mereka yang menyertai aktiviti memancing dan mencandat sotong.

Limpahan pelancong yang semakin bertambah ini menyebabkan lokasi parkir kenderaan berhampiran jeti pelancongan Marang sentiasa penuh, memaksa ada yang parkir agak jauh.

Paling malang ialah melibatkan bas persiaran dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang ada ketika terpaksa parkir berhampiran dengan Masjid Nur Zahirah dan Hentian Bas Marang selepas menurunkan penumpang.

Justeru itu, seorang pengusaha bot pelancong, Zakaria Sulong mencadangkan agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) khususnya Majlis Daerah Marang (MDM) menyediakan kawasan parkir baharu bagi memudahkan para pengunjung meletakkan kenderaaan masing-masing sama ada kereta atau bas di tempat lebih selamat.

Menurut Zakaria, ia perlu memandangkan sebelum ini ada pengunjung yang ke Pulau Kapas terpaksa meletakkan kenderaan agak jauh daripada jeti pelancongan sehingga menyukarkan pengunjung terbabit.

Beliau seterusnya mencadangkan tempat parkir baharu itu boleh dibina bersebelahan surau di Taman Bandar Marang yang lokasi tersebut sememangnya agak memanjang sejauh hampir dua kilometer.

Bagi penulis, masalah kawasan parkir ini perlu diberikan perhatian sewajarnya dalam usaha memajukan sektor pelancongan di daerah Marang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here