Jho Low didakwa sedang dilindungi di China

AHLI perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang terlibat dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didakwa sedang dilindungi oleh kerajaan China.

Memetik laporan Sinar Harian, Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown mendakwa mendakwa, ini kerana China merupakan antara pihak terlibat dalam membantu Datuk Seri Najib Razak berhubung kes itu.

China Communications Construction Company (CCCC) merupakan salah satu syarikat yang terlibat secara haram dalam membantu Najib mencuri dan mencuci berbilion wang Malaysia dan Jho Low adalah orang yang mengatur semua itu untuk Najib di China.

“Jadi tidak mungkin China akan membenarkan Jho Low berada di kandang saksi atau dituduh di mana-mana mahkamah di luar China, mereka tidak akan melakukannya kerana dia (Jho Low) menyimpan bukti yang kuat.

“Jadi saya tidak menjangkakan Jho Low akan keluar dari China, mungkin sehingga ada presiden baru yang memerintah China.

“Mungkin nanti, tetapi bukan sekarang,” katanya dalam program bersama Zack Rockstar bertajuk ‘Get The Crooks Back Out Of Power’ pada Sabtu.

Program yang berlangsung selama satu jam itu disiarkan secara langsung di media sosial Facebook, YouTube dan Twitter Space Kelab Gelombang Keadilan.

Media sebelum ini melaporkan Jho Low didakwa dilihat berada di Disneyland, Shanghai pada malam Krismas 2019 yang mana ‘petunjuk baharu’ itu ditemui berdasarkan rakaman wajah yang dikatakan miripnya.

Sementara itu, ditanya mengenai peranan Jho Low dalam skandal tersebut, Clare berkata, Najib adalah individu yang mempunyai kuasa tetapi beliau memerlukan proksi dan Jho Low adalah orangnya.

Menurut Clare, ahli perniagaan itu boleh diibaratkan seperti oligarki Rusia, tetapi versi Malaysia.

“Najib memerlukan orang tengah yang akan keluar bertindak sebagai proksi untuk berinteraksi dengan penyangak lain yang akan membantunya mencuri duit daripada Malaysia.

“Jho Low bersedia melakukan itu dan dia boleh dianggap seperti salah seorang oligarki Presiden Rusia, Vladimir Putin,” jelasnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *