RAKYAT perlu mengambil iktibar kes dan jenayah rasuah yang boleh memakan diri sama seperti yang dihadapi oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof berkata, individu yang mahu ‘menghalalkan’ rasuah dengan alasan tidak akan diketahui oleh sesiapa perlu berfikir semasak-masaknya sebelum kemudaratan menimpa diri.
“Jangan ambil ringan tentang perkara-perkara melibatkan rasuah seperti yang disebut hakim dalam penghakiman. Rasuah kalau tidak dibendung akan menjadi satu pandemik,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Warta Rakyat pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Kelmarin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 30 tahun dan denda RM970 juta, atau penjara 10 tahun, ke atas Rosmah selepas beliau didapati bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Rosmah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.
Beliau dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi Abang Samsudin, yang ketika itu Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor, sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings memperoleh projek bernilai RM1.25 bilion itu.
Pada 18 Feb tahun lepas, Rosmah diperintah membela diri terhadap ketiga-tiga pertuduhan tersebut selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.
Leave a Reply