Rasuah: Pembantu penguat kuasa dipenjara 14 hari, denda RM10,000

SEORANG pembantu penguat kuasa dihukum penjara 14 hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di Seremban, atas kesalahan meminta dan menerima wang rasuah daripada peniaga kedai rokok elektronik.

Memetik laporan Berita Harian, Hakim Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Norhisham Saharuddin, 49, mengaku bersalah atas kesalahan yang didakwa dilakukan antara 2020 hingga 2022 itu.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara empat bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang juga pembantu penguat kuasa di Majlis Daerah Rembau didakwa meminta dan menerima rasuah RM1,050 daripada peniaga kedai vape sekitar Rembau.

Perbuatan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang iaitu mengeluarkan saman kepada pemilik kedai atas kesalahan berniaga tanpa lesen.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *