SAKSI pendakwaan pertama kes pengabaian dan penganiayaan remaja Sindrom Down dikenali Bella menafikan menyuruh Ahli Jawatankuasa (AJK) Rumah Bonda supaya meletakkan jawatan.
Memetik laporan Berita Harian, penafian dibuat pembantu pengurus syarikat swasta, Zurianty Sudin, 39, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Nurul Hafidzah Hassan yang mewakili pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, pada perbicaraan kes itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.
Bagaimanapun, beliau mengakui ada menyebut mengenai peletakan jawatan selepas beliau ‘menyelamatkan’ Bella, namun tidak bermaksud mengarahkan mereka berbuat demikian.
Menurutnya, beliau berhubung dengan beberapa AJK Rumah Bonda selepas diminta oleh seorang individu dikenali ‘Bubu’ untuk menjelaskan kejadian menimpa Bella.
“Saya menerangkan kepada mereka (AJK) sekiranya mereka tidak tahu mengenai perkara ini (keadaan Bella) langsung, adalah tidak adil untuk mereka.
“Kalau saya jadi mereka, saya akan letak jawatan. Saya tak cadangkan tapi saya bagi pendapat,” katanya.
Dalam pada itu, Zurianty tidak bersetuju cadangan peguam bahawa tindakannya menyelamatkan Bella kerana mahu mengambil alih pengurusan Rumah Bonda.
Disoal seorang lagi peguam Siti Bainun, Mohammad Farhan Maaruf, bahawa tindakannya menyuruh AJK Rumah Bonda meletak jawatan selepas video Bella ‘meletup’ di media sosial, Zurianty menjawab tidak setuju.
Mengenai pertanyaan Mohammad Farhan apa kaitan Bella dengan Rumah Bonda sehingga saksi meminta AJK meletak jawatan sedangkan remaja itu tidak ditempatkan di rumah jagaan berkenaan, Zurianty menjawab tidak pernah mengaitkan Bella dengan Rumah Bonda.
Saksi itu kemudian sekali lagi menegaskan tidak pernah mengarahkan mana-mana AJK Rumah Bonda meletak jawatan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung 14 September depan.
Leave a Reply