Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
DAKWAAN Datuk Zaid Ibrahim yang bahawa institusi sedia ada gagal selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak kerana menyeleweng dana SRC International Sdn. Bhd. dilihat hanya untuk menutup kegagalan pihaknya memenangi kes itu.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, semua pihak perlu hormati dan berhenti mempertikai Mahkamah Persekutuan itu yang dibuat Selasa lalu menerisi panel lima hakim.
Jelasnya, ini kerana proses kehakiman kes tersebut berjalan lancar sejak 2018 yang memberi cukup ruang dan peluang untuk bekas Perdana Menteri itu mendapatkan pembelaan serta keadilan.
“Sejak kes tersebut berjalan selama kira-kira empat tahun bermula di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang melibatkan sembilan hakim, semuanya memutuskan bahawa Najib bersalah.
“Kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bh bukan sesuatu yang kompleks. Ini kes rasuah biasa yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Keputusan Mahkamah Persekutuan itu sama sekali tidak mencerminkan kegagalan institusi kita seperti didakwa Datuk Zaid Ibrahim. insititusi kehakiman tidak gagal, sebaliknya yang gagal adalah Zaid sendiri dalam kes Najib ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau keadaan pagar yang rosak dan tumbang akibat dilanda ribut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 3 di Pasir Gudang, hari ini.
Zaid merupakan barisan peguam terakhir Najib dalam pembelaan penghujahan kes SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan dan pada Khamis mendakwa kes Najib itu mencerminkan kegagalan institusi sedia ada.
“Ringkasnya, pada saya, dalam kes Najib dan SRC ini hanya membuktikan usaha hendak memasukkan mantan Perdana Menteri ini ke penjara, dan ia berjaya. Itu saja.
“Tetapi, dari segi sistem perundangan kita apakah Peguam Negara kita bebas? Apakah undang-undang politikal Malaysia telah berubah? Atau wujud unsur pilih kasih,” soal Zaid dalam satu temubual dengan sebuah portal berita.
Hassan berkata, semua pihak harus akur dan tidak melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas hanya kerana kes mereka kalah di mahkamah.
Menurut beliau, Ahli Parlimen Pekan itu masih mempunyai peluang untuk membuat semakan kehakiman dalam tempoh 14 hari selain mempunyai hak untuk memohon bagi mendapatkan pengampunan diraja.
Hassan yang juga seorang peguam berkata, perkembangan dan penerimaan kes itu menunjukkan satu kejayaan kepada Malaysia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam memelihara kedaulatan undang-undang.