Peguam ingatkan Zaid: Kita ada tanggungjawab kepada mahkamah

SEORANG pengamal undang-undang menegur Datuk Zaid Ibrahim yang menyuarakan kekecewaan selepas mendapati peguam dalam kes jenayah perlu mendapat kebenaran mahkamah untuk tarik diri.

Peguam Andrew Khoo berkata, seorang peguam ada tugas dan tanggungjawab kepada mahkamah dan tidak boleh ‘datang dan pergi’ sesuka hati mereka, menurut pengamal undang-undang.

Perkara itu disuaraknannya selepas Zaid yang baru saja ditamatkan khidmat sebagai peguam bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menyuarakan kekecewaan tersebut.

“Mahkamah ada budi bicara untuk memberikan lanjutan masa atau tidak, dan peguam tidak boleh mengandaikan mereka pasti akan diberi masa untuk menyediakan penghujahan.

“Apa yang mengejutkan adalah Zaid seperti tidak sedar yang peguam pertama-tamanya adalah ‘pegawai mahkamah’. Kita bukan ejen bebas – kita tidak datang dan pergi sesuka hati tanpa kebenaran mahkamah.

“Selaku pegawai mahkamah, kita ada tugas dan tanggungjawab kepada mahkamah. Selaku peguam, kita ada tugas dan tanggungjawab kepada profesion perundangan,” katanya memetik laporan Malaysiakini, hari ini.

Katanya lagi, mahkamah mungkin memberi lanjutan jika permohonan yang dibuat ada merit, tetapi ia tidak diberikan secara automatik dan mahkamah perlu mengambil kira kedaulatan undang-undang dan pentadbiran keadilan.

“Mahkamah tidak akan berbuat demikian hanya kerana peguam sangat senior dan anak guam/tertuduh sangat terkenal. Dan tidak diberikan penangguhan pastinya bukan asas yang baik untuk ditamatkan khidmat atau meminta untuk tarik diri.

“Ini peraturan yang perlu dipatuhi anggota biasa profesion perundangan setiap hari…Saya terkejut dia (Zaid) tak tahu perkara ini,” katanya yang juga pengerusi bersama jawatankuasa undang-undang Majlis Peguam.

Sementara itu, peguam New Sin Ye berkata sementara undang-undang tidak menyatakan bagaimana peguam boleh menarik diri daripada kes jenayah, mahkamah ada kuasa berkenaan perkara itu.

Dia juga bersetuju dengan Khoo bahawa peguam ‘tugas utama’ sebagai pegawai kepada mahkamah.

“Dalam kes sivil, mahkamah boleh melarang (peguam daripada tarik diri) kerana pentadbiran keadilan adalah keutamaan paling penting.

“Dan oleh kerana (mahkamah lebih tinggi) berkuasa terhadap kes sivil dan jenayah, tiada sebab mengapa kes jenayah boleh berbeza dengan sivil, dari aspek mahkamah boleh melarang seorang peguam daripada tarik diri.

“Misalnya, jika seorang peguam nak tarik diri atas sebab yang semberono, mahkamah boleh tidak bersetuju,” katanya lagi.

Semalam, Najib menamatkan khidmat pasukan peguam yang mewakilinya dalam kes SRC International untuk kali kedua dalam tempoh sebulan.

Ia selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya untuk mengemukakan bukti baharu dan permohonan untuk menangguhkan pendengaran selama tiga hingga empat bulan.

Peguam Najib, Hisyam Teh Poh Teik kemudian memohon untuk menarik diri namun tidak dibenarkan panel hakim.

Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah mengikritik tindakan ini dan menyifatkannya sebagai salah guna proses mahkamah dan perlu dikenakan tindakan disiplin.

Katanya, peraturan menyatakan peguam tidak seharusnya menerima apa-apa kes melainkan mereka yakin dapat mewakili anak guam pada tarikh yang telah ditetapkan dan melakukan segala usaha untuk bersedia dengan perbicaraan pada tarikh tersebut.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *