Mampukah gandingan Datuk Seri Anwar Ibrahim-Rafizi Ramli dapat mengembalikan semula kepercayaan ahli dan penyokong serta kekuatan parti Keadilan Rakyat (PKR) di negara ini?
Dan adakah gandingan dua pemimpin tersebut bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal diterima rakyat, khususnya para pengundi tegar parti tersebut.
Begitulah tanda tanya serta perbualan pelbagai pihak mengenai kehadiran semula Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan untuk membantu Anwar dan PKR sewaktu banyak pihak sedang bercakap mengenai PRU15.
Walaupun pelbagai andaian dan spekulasi dibuat, Anwar sebelum ini masih menganggap kehadiran Rafizi seolah-olah dapat memberi panadol kepada dirinya.
Namum, ada juga suara nakal bertanya adakah panadol itu sebagai ubat untuk membantu merawat Ànwar atau ia adalah sebagai racun yang boleh membunuh karier politik Presiden PKR tersebut.
Ini kerana, trend dunia politik semasa sudah jauh berubah di mana kebanyakan rakyat khususnya pengundi di negara semakin benci dengan orang politik yang lebih kuah daripada sudu dan banyak bercakap daripada bekerja untuk rakyat.
Selain itu rakyat juga sudah tidak boleh menerima pemimpin yang gemar ‘berperang’ dan ‘menyerang’ pihak lain secara tidak bermaruah.
Rakyat sudah muak dan enggan lagi mendengar isu-isu lapuk yang tidak berkesudahan.
Mereka memerlukan kehidupan lebih aman dan tenteram ketika berhadapan dengan pelbagai krisis dunia sekarang khususnya melibatkan ekonomi dan kesihatan.
Dalam menangani perkara ini, apakah Anwar, Rafizi dan PKR sudah bersedia menghadapinya?
Persoalannya, adakah gandingan regu yang dianggap terbaik dalam PKR ini diterima ahli dan penyokong dalam PRU15 nanti?
Bercakap mengenai perkara ini, ada pemerhati politik beranggapan PKR bakal berhadapan masalah besar khususnya di Terengganu dan Kelantan untuk berhadapan dengan PRU15 nanti.
Ia berkaitan dengan tindakan Anwar melantik Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) baru-baru ini yang terdiri daripada ‘orang luar’ bukan melibatkan pemimpin tempatan anak negeri yang sudah menyandang jawatan tersebut.
Menurut salah seorang ahli parti itu yang enggan namanya disiarkan, pengumuman Ànwar mengenai pelantikan jawatan MPN Pahang, Terengganu dan Kelantan bagi penggal 2022 hingga 2025 agak ‘menyentak’ ahli dan penyokong setia parti tersebut.
Difahamkan,walau pun keputusan dibuat berdasarkan perbincangan mesyuarat bersama ketua cabang bahagian negeri masing-masing, namun ada juga yang terlalu sukar menerimanya.
Sebelum ini, Anwar telah mengumumkan nama Amirudin Shari sebagai Pengerusi MPN Pahang serta Nik Nazmi Nik Ahmad dilantik sebagai Pengerusi MPN Terengganu dan Kelantan.
Pengerusi MPN Terengganu sebelum ini ialah Azan Ismail yang juga Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu manakala Kelantan ialah Datuk Seri Mohd Supardi Md Noor yang merupakan Ketua Cabang Tanah Merah.
Sumber memberitahu, meskipun tiada ahli dan penyokong kedua-dua negeri membantah secara terbuka, namun jika tidak diawasi dengan baik tidak mustahil ia mampu berlaku seperti Sabah.
Ini kerana,sikap ‘keakuan’ dan ‘kenegerian’ orang Terengganu dan Kelantan seharusnya diberikan perhatian.
Baru-baru ini Naib Pengerusi MPN PKR Sabah, Datuk John Ghani bertindak meletak jawatan dan keluar parti setelah dikatakan sudah hilang kepercayaan terhadap tindakan Anwar yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama kerajaan pusat disamping menggantikan Pengerusi MPN PKR Sabah, Datuk Christina Liew dengan Datuk Sangkar Rasam.
John berpendapat, sebagai Ketua Pembangkang Anwar tidak sepatutnya menandatangani MoU Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan kerana ia dikatakan tidak memberi manfaat kepada parti.
Selain itu John yang terlalu kecewa dengan tindakan Anwar menggantikan Christina Liew dengan Sangkar Rasam sebagai pengerusi baru MPN Sabah di saat PRU-15 semakin hampir menganggap ia sebagai langkah kurang tepat kerana boleh memecahkan kesatuan parti itu.
Malah beliau khuatir penggantian Christina kepada Rasam berpotensi menyebabkan PKR kehilangan kerusi parlimen di Tawau dan kerusi DUN Api-Api.
Justeru, apakah episod ini bakal berulang di Terengganu dan Kelantan?
Atau mungkinkah PKR serta Pakatan Harapan (PH) terus tenggelam di kedua-dua negeri di Pantai Timur ini pada PRU15 nanti?
Leave a Reply