UMNO-BN yang sentiasa dikenang dalam sejarah negara sebagai parti terpalit dengan skandal 1MDB tidak akan dapat lari daripada fakta itu.

Walau apa pun yang cuba dibuat, ia tidak akan dapat mengubah apa yang sudah tertulis bagaimana parti itu ketika sedang berkuasa di bawah pimpinan Najib Razak cuba menyembunyikan penyelewengan berbilion wang rakyat.

Dan begitulah lumrah alam, perkara tidak baik tidak akan mampu ditutup kerana lambat laun akan terbongkar jua akhirnya.

Seperti mana diketahui satu dunia, dalang yang merompak wang rakyat dalam 1MDB akan dapat diketahui melalui keputusan penghakiman mahkamah tidak lama lagi.

Walau apa pun cubaan dilakukan oleh Najib untuk melengahkan prosiding, keputusan mahkamah tidak akan dapat dielakkan dan sama ada suka atau tidak, hakim akan tetap membuat keputusan berdasarkan bukti kes yang ada.

Belum reda dengan kes 1MDB ini, terbongkar pula skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang mana fakta yang tertulis ialah perolehan aset ketenteraan itu berlaku ketika zaman BN iaitu Najib sebagai Perdana Menteri dan Zahid Hamidi pula adalah Menteri Pertahanan.

Sebanyak mana pun jawapan penafian diberikan oleh Najib, Zahid dan juga orang-orang yang terbabit dalam perolehan itu, ia tidak akan dapat menutup kepercayaan bahawa banyak yang tidak kena dalam perolehan aset TLDM itu.

Pertamanya apabila bekas Panglima TLDM, Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar, telah menghantar 10 surat teguran mengenai perolehan kapal itu kepada Najib, Zahid, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Setiausaha Negara sejak tahun 2011 tapi tidak diendahkan.

Keduanya, wang dibayar kepada syarikat pembina kapal sebanyak RM6.083 bilion sedangkan tiada satu pun kapal yang ditempah pada 2011 itu disiapkan sehingga kini.

Ketiganya, bagaimana perubahan daripada kapal jenis Sigma kepada Gowind sedangkan perubahan tanpa merujuk keperluan TLDM itu bakal menyebabkan banyak kelemahan kepada operasi ketenteraan.

Banyak lagi persoalan yang boleh dibangkitkan sebenarnya, tapi tiga fakta yang dinyatakan di atas sudah cukup untuk menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dalam isu LCS ini sehingga ia sudah dilabelkan sebagai skandal.

Tetapi lain pula dengan pimpinan UMNO yang masih tidak serik dengan skandal 1MDB hingga menumbangkan UMNO-BN cuba melakukan perkara sama menutup skandal LCS.

Seperti yang dilaporkan media, Tok Mat selaku orang nombor dua dalam UMNO menganggap skandal LCS adalah fitnah berjadual pembangkang untuk merosakkan BN.

Kata Tok Mat ketika berucap semasa Konvensyen Wanita BN di WTCKL semalam, skandal LCS tiada kaitan dengan BN sedangkan sudah terang lagi nyata ketika perolehan berlangsung, ia berlaku semasa BN memerintah.

Maka, apabila Tok Mat menggesa Biro Penerangan parti itu untuk memberikan penjelasan kepada akar umbi supaya tidak terpengaruh, apakah hujah hendak digunakan? Adakah dengan mengubah fakta dapat meyakinkan orang bawahan bahawa segala pendedahan berkaitan kapal LCS adalah tipu belaka?

Di sini Tok Chey nak ingatkan Tok Mat dan pimpinan UMNO/BN lain supaya buka mata dan berpijak di bumi nyata bahawa orang di peringkat bawahan bukan lagi seperti zaman dahulu. Rakyat di peringkat akar umbi kini sudah cerdik dan dapat menilai setiap isu yang berlegar di intenet ketika ini.

Mereka tidak lagi lurus seperti sebelum ini yang menerima bulat-bulat setiap butir perkataan yang keluar dari mulut pimpinan atasan. Kebanyakannya sudah serik dengan kempen sebelum ini yang bermatian-matian menutup penyelewengan skandal 1MDB tetapi akhirnya segala yang dikatakan fitnah itu jualah menjadi bukti kes di mahkamah.

*Tok Chey berpengalaman lebih 20 tahun dalam dunia kewartawanan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here