OKT meninggal dunia ketika terima rawatan di Klinik Kesihatan Bachok-Polis

SEORANG buruh yang merupakan orang kena tahan (OKT) di lokap Balai Polis Bachok, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Bachok selepas dipercayai bergaduh dengan tahanan lain, semalam.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan mendapati mangsa berusia 32 tahun itu meninggal dunia semasa menerima rawatan di klinik tersebut pada pukul 11 pagi.

Katanya, siasatan mendapati mangsa dipercayai bergaduh dengan tahanan lain di dalam lokap sehingga dia mengalami sesak nafas sebelum diasingkan ke lokap lain.

“OKT dimasukkan ke lokap balai polis itu selepas ditahan atas tiga kes dadah pada 2 Ogos lalu dan sepatutnya dituduh di mahkamah hari ini atas kesalahan tersebut.

“Malah, OKT juga dikatakan sering menimbulkan masalah kepada tahanan lain dengan membuang air kecil dan besar di dalam sel lokap tersebut,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, di Kota Bharu, untuk bedah siasat.

“Kita akan menunggu laporan bedah siasat hari ini. Berdasarkan laporan tersebut dan rakaman kamera litar tertutup  (CCTV) lokap, kita akan dapat mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa,” katanya yang menambah kes tersebut disiasat oleh Siasatan Jenayah Dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman. – Bernama


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *