SATU Jawatankuasa Siasatan ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan insiden melibatkan seorang pegawai tinggi kerajaan dan pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) beberapa hari lepas.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata jawatankuasa ini yang dipengerusi Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, akan bersidang secepat mungkin bagi menyiasat insiden yang dilaporkan berlaku pada 3 Ogos lepas.

Menurutnya jawatankuasa berkenaan dianggotai Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Audit Negara Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Azam Baki.

“Jawatankuasa ini bertanggungjawab mengendalikan siasatan secara terperinci bagi memberi pengadilan sewajarnya kepada kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khamis lepas, seorang pegawai Imigresen yang bertugas sebagai Ketua Operasi Imigresen di KLIA dilapor dimarahi di khalayak ramai kerana tiada pegawai Imigresen ditempatkan di kaunter bilik VIP sewaktu ketibaan pegawai tinggi kerajaan itu di bilik berkenaan.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here