RIZQI ZABIDI

Enam pemancing terselamat selepas bot yang dinaiki mereka karam akibat cuaca buruk di kedudukan 8.2 batu nautika tenggara Pulau Timun, Langkawi kira-kira pukul 6 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada seorang nelayan kira-kira pukul 8.55 pagi tadi menyatakan terserempak dengan enam individu yang terapung di laut.

“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis kemudian mengatur gerak bot PERKASA 1228 ke lokasi kejadian dan mendapati keenam-enam mangsa telah diselamatkan oleh bot nelayan tempatan yang berada di kawasan berkenaan.

“Semua mangsa seterusnya dipindahkan ke atas bot PERKASA 1228 untuk dibawa balik ke Jeti Maritim Bukit Malut, Langkawi,” katanya.

Difahamkan kesemua mangsa berumur lingkungan 34 hingga 70 tahun itu dalam perjalanan pulang ke jeti di Kuala Perlis selepas keluar memancing.

Bagaimanapun bot mangsa dipercayai dimasuki air hingga menyebabkan kenderaan itu karam akibat.

Beliau menambah, ketika diselamatkan semua mangsa memakai jaket keselamatan dan berpaut pada bumbung bot yang timbul setelah keseluruhan badan bot telah tenggelam.

“Seorang mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Maliha untuk pemeriksaan lanjut akibat keletihan setelah berapung hampir 16 jam.

“Maritim Malaysia mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB),” katanya.

Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-9662750.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here