PERBICARAAN kes Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli yang berdepan pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan kontrak pekerjaan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd, kekal didengar di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

Ia susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin yang menolak permohonan Rozman supaya kes itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah juga menolak permohonan Rozman untuk menggantung perbicaraan kes itu kerana tidak wujud keadaan istimewa atau luar biasa yang mewajarkan penggantungan.

Muhammad Jamil berkata, Rozman menyatakan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Labuan mewajarkan kesnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi atas kepentingan keadilan selain kes itu telah mendapat tumpuan serta perhatian dan dilaporkan di dalam media kerana ia melibatkan kepentingan awam.

“Bukan suatu undang-undang bahawa pemohon yang merupakan seorang Ahli Parlimen, maka perbicaraan kesnya sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi. Persoalannya adalah sama ada tertuduh yang ingin kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi telah memenuhi kehendak dalam Seksyen 417 (b) (1) Kanun Tatacara Jenayah (persoalan undang-undang).

“Semua tertuduh mesti dilayan sama rata tanpa menghiraukan status. Pemohon yang merupakan seorang ahli politik tidak seharusnya diberi layanan berbeza jika memohon untuk kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. Dia (Rozman) sama seperti tertuduh lain yang mesti memenuhi kehendak mana-mana satu perenggan dalam Seksyen 417 (1) Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Mengenai isu persoalan undang-undang, Muhammad Jamil berkata, pemohon menyatakan terdapat tiga persoalan undang-undang yang sukar, rumit dan luar biasa berkemungkinan besar akan ditimbulkan dalam perbicaraan kesnya.

Menurut hakim itu, persoalan undang-undang mestilah sesuatu yang unik atau tidak pernah diputuskan sebelum ini.

“Pada pandangan saya, tiga persoalan undang-undang tersebut bukan tergolong dalam persoalan undang-undang yang luar biasa. Pemohon juga tidak mencabar kewibawaan hakim Mahkamah Sesyen dan sudah tentu hakim Mahkamah Sesyen berupaya untuk membuat pertimbangan, seterusnya membuat keputusan sekiranya berdepan dengan persoalan undang-undang.

“Pemohon telah gagal memenuhi kehendak di perenggan Seksyen 417 (1) (b) Kanun Tatacara Jenayah. Permohonan pemohon untuk memindahkan kesnya ke Mahkamah Tinggi dan permohonan menggantung prosiding kes (perbicaraan) di Mahkamah Sesyen ditolak,” kata hakim itu.

Prosiding hari ini dihadiri peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Rozman dan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd Azmi.

Sebelum ini, perbicaraan kes itu ditetapkan pada 11 dan 12 Ogos di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob.

Rozman, 57, didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, telah menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd, yang bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara pukul 2.30 hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – Bernama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here