PELAKON veteran yang dikenali dengan gelaran Mak Wan Latah didakwa di Mahkamah Majistret Taiping, hari ini atas pertuduhan berkelakuan aib iaitu meludah dengan tujuan membangkitkan kemarahan terhadap seorang wanita, bulan lalu.

Mak Wan Latah atau nama sebenarnya, Halimatussa’diah Mohd. Daud, 61, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Nur ‘Atiqah Sapari.

Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu didakwa dengan sengaja meludah kepada Nurul Amalina Mohamad Kamal, 28, di Kampung Titi Kasai, Batu Kurau, Taiping kira-kira pukul 7 malam, 24 Jun lalu.

Kesalahan itu dibaca mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa daripada Ibu Pejabat Daerah (IPD) Taiping, Inspektor Khoo Thean Heng menawarkan jumlah jaminan RM5,000 terhadap tertuduh sebelum Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000.

Keputusan itu selepas peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh, T. Selvadoray meminta mahkamah mengambil kira pendapatan tertuduh yang tidak menentu kerana bekerja sambilan selain merupakan ibu tunggal kepada empat anak.

Majistret turut menetapkan 5 September depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Terdahulu pelakon veteran berkenaan sempat memberi amaran kepada petugas media yang merakam visualnya sejurus sebelum memasuki kamar bicara mahkmah.

“Jangan viral (tular), okay,” demikian amaran diberikan pelakon veteran tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here