kerajaan keluarga Malaysia

Berapa lama kerajaan Keluarga Malaysia mampu bertahan?

RAMAI yang tertanya-tanya apa yang akan berlaku dari segi hubungan antara kerajaan Keluarga Malaysia dan pembangkang selepas 31 Julai ini memandangkan tiada memorandum persefahaman (MoU) baharu bakal dimeterai antara kedua-dua pihak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam menyatakan tiada perjanjian bertulis yang baharu bagi menggantikan MoU Transformasi dan Kestabilan politik.

Namun, seperti kita semua sedia maklum, sebarang perjanjian hanya mengikat kedua-dua pihak untuk mematuhi perkara-perkara yang terkandung dalamnya setelah ia didokumentasikan dan dimeterai secara rasmi.

Lazimnya, perjanjian yang dibuat secara ‘cakap mulut’ dianggap longgar dan sukar untuk mempertanggungjawabkan mana-mana pihak yang mencabulinya kerana tiada bukti bertulis.

Tidak kurang juga ada yang terkeliru apabila menganggap MoU Transformasi dan Kestabilan Politik tidak diteruskan walaupun Ismail Sabri dengan jelas menyatakan memorandum tersebut berkuat kuasa sehingga Parlimen dibubarkan.

Memang sukar untuk menyalahkan mereka yang keliru itu. Lebih-lebih lagi berkaitan klausa yang menyatakan bahawa Parlimen tidak akan dibubarkan sebelum 31 Julai 2022.

Dalam bahasa mudah, kerajaan sedia ada boleh juga membubarkan Parlimen selepas 31 Julai ini sekali gus mencetuskan spekulasi tentang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mungkin diadakan lebih awal.

Bukan rahsia lagi bahawa Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menerima tekanan yang amat dahsyat daripada partinya sendiri untuk tidak meneruskan MoU dengan pembangkang.

Malah, beliau sendiri mengakui akur dengan keputusan UMNO dan telah membincangkan perkara tersebut dalam pertemuan dengan pemimpin-pemimpin pembangkang.

Memandangkan klausa yang selama ini menghalang kehendak kluster mahkamah UMNO yang mahu PRU-15 diadakan lebih awal tidak diperbaharui, penganalisis politik menjangka pentadbiran Ismail Sabri sukar untuk bertahan sehingga penggal Parlimen Ke-14 berakhir.

Memang benar kerajaan Keluarga Malaysia bukan 100 peratus dikuasai Barisan Nasional (BN) kerana penglibatan Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadikannya sebuah kerajaan campuran.

Namun, sebagai seorang pemimpin UMNO, pentadbiran Ismail Sabri tetap dibayangi oleh dasar dan keputusan yang ditentukan oleh partinya yang diterajui oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Cuma dalam situasi inflasi dan krisis ekonomi yang belum pulih, adakah UMNO berani berdepan kemarahan rakyat sekali lagi jika PRU-15 diadakan dalam masa terdekat?

Sekiranya UMNO masih mahu ‘terjah’ juga, tidak mustahil sejarah pahit yang menyaksikan mereka tumbang pada PRU-14 bakal berulang.

BN dan UMNO cuma bernasib baik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor. Nasib baik mungkin tidak memihak kepada mereka sekiranya pemimpin-pemimpin UMNO masih bersikap angkuh mendesak PRU-15 diadakan segera tanpa mengira kepayahan hidup rakyat ketika ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *