Oleh RIZQI ZABIDI
SEORANG penagih dadah bertindak melampau apabila mengugut untuk membunuh ibunya sendiri dengan menggunakan pisau di Bandar Perdana, Sungai Petani, Kedah, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 2 petang dengan suspek dikatakan turut mengugut untuk membunuh ahli keluarganya yang lain.
Katanya, lelaki tersebut didakwa mengamuk setelah ibunya yang berusia 40 tahun tidak mengizinkan motosikal miliknya digunakan suspek.
“Wanita itu mendakwa dia tidak mengizinkan suspek menggunakan motosikal kerana anaknya itu baru muncul setelah tiga hari tidak pulang ke rumah.
“Disebabkan itu suspek mengambil sebilah pisau dan mengugut mahu membunuh ibunya serta ahli keluarga yang lain. Ketika kejadian, adik-beradik suspek turut berada dalam rumah tersebut,” katanya.
Tambahnya, suspek kemudiannya berjaya diberkas anggota polis yang hadir ke rumah tersebut selepas menerima maklumat mengenai kejadian tersebut.
“Ujian urin dijalankan terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.
Leave a Reply