Dua sahabat didakwa bunuh lelaki Pakistan

DUA lelaki tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga Pakistan, dua minggu lalu.

Tertuduh, S. Kumara Rao, 56, dan R. Remesh, 45, mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membunuh Qadir Muhamad, 35, di sebuah unit kondominium di Kelana Jaya pada pukul 8.48 malam, 11 Julai lalu.

Atas pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada ikat jamin diberikan dan mahkamah kemudian menetapkan 26 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Pada 13 Julai lalu, media melaporkan, polis menemui mayat seorang lelaki warga asing, dipercayai terjatuh dari tingkat 17 sebuah kondominium di Kelana Jaya, Petaling Jaya.

Polis kemudian mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh.

Dua suspek lelaki berusia 40-an ditahan reman bagi membantu siasatan kes itu.

Pada 18 Julai, media melaporkan polis mengesahkan mangsa dan kedua-dua suspek berkenalan menerusi aplikasi media sosial untuk golongan gay.

Polis dalam kenyataan berkata, mangsa dipercayai sudah beberapa kali datang bertemu kedua-dua suspek di lokasi kejadian yang juga merupakan rumah suspek.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *