MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) hari ini menggesa kerajaan untuk mengkaji bentuk subsidi yang digunakan sebelum ini bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan manfaat tersebut.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kajian untuk melaksanakan subsidi bersasar diperlukan ekoran hampir 50 peratus subsidi yang disalurkan oleh kerajaan dinikmati oleh golongan yang berpendapatan tinggi.

Katanya, usaha itu perlu disegerakan bagi memastikan rakyat yang berada di dalam golongan B40 atau kumpulan pendapatan rendah yang lain dihulurkan bantuan secara saksama.

“Majlis telah berbincang masalah perlunya kerajaan untuk mengkaji bentuk subsidi yang pernah digunakan sebelum ini cukup besar. Mungkin dicadangkan supaya subsidi bersasar dilaksanakan iaitu hanya mereka yang berhak dan layak dalam kategori umpamanya B40 ke B50.

“Jika langkah segera boleh diambil untuk dikaji semula bagi mengkhususukan subsidi kepada golongan yang memerlukan, maka kesan daripada inflasi dapat dikurangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di Putrajaya, hari ini.

Menurut Muhyiddin lagi, MPN berpendapat indikator-indikator ekonomi yang memberansangkan akan lebih bermakna apabila kesejahteraan dan ekonomi rakyat bergerak seiring.

“Semua pemegang taruh perlu bekerjasama dalam menangani kenaikan harga barangan terutamanya barang makanan supaya semua rakyat Malaysia dapat menikmati hasil pemulihan ekonomi pasca pandemik yang lebih menyeluruh dan bermakna,” ulasnya.

Muhyiddin turut memaklumkan MPN telah berbincang dengan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mempertimbangkan satu tabung makanan atau ‘Fund For Food’ bagi mengurangkan bebanan inflasi yang dirasai oleh rakyat Malaysia.

“Kita juga bincang bersama BNM supaya mempertimbangkan satu tabung makanan atau Fund For Food yang dulu pernah disediakan tapi diminta supaya di peringkat institusi kewangan, bank-bank komersil perdagangan Malaysia menyediakan sebahagian daripada pinjaman mereka untuk menggalakkan pengusaha-pengusaha pertanian meneroka secara lebih agresif untuk mengeluarkan bahan-bahan yang diperlukan negara.

“Mungkin perkara ini dapat mengurangkan beban tekanan inflasi yang dihadapi oleh penduduk Malaysia dalam kategori B40,” ujarnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here