WALAUPUN sedar bahawa janjinya untuk menurunkan harga minyak sehari selepas menjadi Perdana Menteri dijadikan bahan lawak, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap mengulangi kata-katanya itu.
Memetik laporan Malaysiakini, Ahli Parlimen Port Dickson itu sedar janjinya dianggap jenaka ekoran kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) melaksanakannya selama 22 bulan berkuasa.
Namun, Anwar berkata, janji itu tidak ditepati kerana beliau bukan Perdana Menteri ketika itu.
“Sekarang kalau kita berjaya kali ini, janji kita pada rakyat, jika kita berjaya, kita akan tunaikan sepenuhnya kepada rakyat.
“Kita menang hari ini, harga minyak jatuh esok.
“Saya (sebelum ini) bukan PM, macam mana boleh buat. Harga minyak tak boleh diturunkan kerana kerajaan fikir cara menyelamatkan orang di atas, dan kita fikir cara menyelematkan orang di bawah,” katanya pada sidang media selepas tamat Kongres Nasional PKR di Shah Alam hari ini.
Anwar mendakwa, kerajaan sekarang tidak dapat menangani isu harga minyak kerana mereka yang berkuasa sibuk bekerja untuk menyelamatkan karier politik masing-masing.
Pada 2008, Anwar berjanji kepada rakyat bahawa gabungan parti pembangkang yang dipimpinnya ketika itu akan menurunkan harga minyak sebaik sahaja mendapat mandat untuk mentadbir negara.
Walau bagaimanapun, penetapan harga minyak tetap menggunakan kaedah yang sama seperti diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Leave a Reply