PERMOHONAN injunksi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menghalang Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada terus mengeluarkan kenyataan mengenai dakwaan bekas timbalan perdana menteri itu meminta bantuan untuk menyelesaikan atau menangguhkan perbicaraan kes jenayah dihadapinya, akan didengar pada 8 Ogos ini.
Pendengaran permohonan injunksi sementara itu sepatutnya didengar hari ini berkaitan kes saman fitnah difailkan Ahmad Zahid terhadap Muhyiddin berhubung kenyataan dibuat bekas perdana menteri itu di perkarangan Pusat Pembelajaran Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3 pada 16 Feb lepas semasa kempen Pilihan Raya Negeri Johor ke-15 di Mersing.
Peguam Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili Ahmad Zahid selaku plaintif ketika dihubungi berkata pendengaran itu dijadualkan semula kerana defendan (Muhyiddin) baru memfailkan afidavit tambahan pada 6 Julai lepas.
Menurut peguam itu, mahkamah juga memerintahkan Ahmad Zahid untuk memfailkan afidavit balasan sebelum atau pada 22 Julai ini.
“Pendengaran permohonan akan didengar pada 8 Ogos ini melalui aplikasi Zoom di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rozana Ali Yusoff,” katanya.
Menerusi saman yang difailkan pada 4 April lepas, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memohon perintah injunksi secara ex-parte (sebelah pihak) supaya Muhyiddin atau wakilnya menarik balik kenyataan fitnah tersebut atau kenyataan fitnah serupa terhadapnya.
Plaintif juga memohon perintah injunksi sementara untuk menghalang defendan, pegawai dan pembantunya serta ejen dan wakilnya daripada mengeluarkan, menerbitkan, mengedarkan atau menyebarkan kenyataan fitnah berkenaan atau kenyataan fitnah serupa di mana-mana wadah media sosial termasuk Facebook, Instagram, Twitter dan WhatsApp.
Turut diminta adalah perintah injunksi sementara bagi mengarahkan defendan memadam, menyunting dan menghentikan penerbitan sebahagian rakaman video majlis itu yang mengandungi kenyataan memfitnah di dalam portal-portal berita dalam talian dan sosial media antaranya di Facebook profil “Perikatan Nasional”, YouTube Astro AWANI dan KiniTV.
Selain itu, plaintif memohon perintah injunksi sementara mengarahkan defendan menulis kepada mana-mana penerbit, penyunting, pengendali dan pemilik portal-portal berita dalam talian atau platform media sosial yang menerbitkan kenyataan fitnah itu supaya memadam dan menghentikan penerbitan kenyataan fitnah berkenaan.
Ahmad Zahid mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau menggunakan jalan pintas untuk menyelesai dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan, meminta pertolongan Muhyiddin untuk mencampuri urusan perbicaraan kes terbabit, mencampuri sistem kehakiman, mengarahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor dan bukan pemimpin yang patut dihormati, diteladani serta disegani.
Beliau mendakwa kenyataan-kenyataan fitnah itu adalah palsu, bertujuan untuk menjatuhkan reputasi dan nama baiknya.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, faedah, serta perintah mengarahkan defendan menerbitkan permohonan maaf tidak bersyarat secara bertulis di surat khabar yang akan ditentukan plaintif selain menuntut kos dan lain-lain perintah difikirkan sesuai oleh mahkamah. – BERNAMA
Leave a Reply