MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan Jumaat ini untuk bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menjawab notis tunjuk sebab atas tindakannya menghalang penjawat awam dan mendakwa sistem perundangan negara tidak adil.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, ia sepatutnya dilakukan hari ini, namun ditangguhkan kerana peguam Lokman hanya boleh hadir ke mahkamah pada hari itu.
“Mahkamah menghargai bantuan (peguam Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dalam hal ini. Lokman perlukan peguam, maka mahkamah tiada alternatif lain untuk membawa kes ini pada Jumaat ini.
“Beritahu kepada Lokman supaya pastikan peguamnya hadir. Kes beliau Jumaat ini,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Khamis lalu, media melaporkan Lokman dikenakan notis tunjuk sebab kerana didakwa menghina anggota polis dengan menggelarnya ‘bodoh’ dan mempersoalkan undang-undang ketika hadir di mahkamah untuk mengikuti perbicaraan rasuah Ahmad Zahid.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran membangkitkan perkara itu kepada Sequerah selepas mahkamah berehat seketika.
“Seorang orang awam bertindak balas apabila seorang anggota polis memintanya supaya tidak ‘bermain’ dengan telefon bimbitnya. Dia memanggil polis itu ‘bodoh’,” kata Raja Rozela sambil menambah individu terbabit turut menyatakan “undang-undang ini tidak adil”.
Sequerah bertanya sama ada individu terbabit masih berada dalam mahkamah dan Lokman, yang berada di galeri awam berdiri dan memaklumkan beliau sedang “menaip” di telefon bimbitnya.
Sequerah kemudiannya mengeluarkan surat tunjuk sebab terhadapnya.
Leave a Reply