POLIS memanggil sembilan individu untuk memberi keterangan berhubung Himpunan Barang Naik di Masjid Jamek Kampung Baru, di Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad; bekas Ketua Menteri Melaka yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Adly Zahari; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil; ADUN Pandan Indah yang juga Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim dan Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali antara yang hadir.

Selain itu ADUN Taman Templer, Mohd. Sany Hamzan, Ketua Pemuda Amanah; Mohd. Hasbie Muda, Ketua Wanita Muda Amanah, Nurthaqaffah Nordin dan wakil Angkatan Wanita Amanah Anfal Saari turut hadir.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, seramai enam individu diambil keterangan hari ini manakala tiga lagi individu sudah diambil keterangan kelmarin dan semalam.

“Tiga yang diambil keterangan sebelum ini adalah Khalid, Mohd. Hasbie dan Sheikh Umar bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan berkenaan manakala enam lagi individu pula diambil keterangan hari ini.

“Polis juga sudah memanggil seorang lagi individu iaitu Ahli Parlimen Lumut yang juga Setiausaha Agong Amanah, Datuk Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli dan beliau dijangka hadir memberi keterangan pada pagi Rabu ini,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

Enam pemimpin parti yang dipanggil untuk dirakam keterangan hari ini tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada pukul 9.50 pagi dan proses rakaman keterangan ke atas mereka selesai kira-kira 50 minit kemudian.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Sementara itu, peguam mewakili mereka, Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda ketika ditemui berkata, seramai sembilan pemimpin parti sudah memberi keterangan kepada polis sejak kelmarin hingga hari ini.

Katanya, kesemua mereka memberi kerjasama yang baik kepada polis sepanjang proses rakaman keterangan dijalankan.

Pada Jumaat lalu, kira-kira 100 orang menghadiri Himpunan Barang Naik yang bermula jam 2 petang sebelum disuraikan oleh anggota polis kira-kira 30 minit kemudian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here