MAHKAMAH Sesyen Kuala Terengganu hari ini menjatuhkan hukuman penjara 32 tahun dan 22 sebatan terhadap seorang bapa setelah didapati bersalah merogol dan meliwat anak kandungnya tiga tahun lalu.
Hakim Nooriah Osman menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh yang berusia 50 tahun mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dan Seksyen 377 (c) Kanun Keseksaan, lapor Sinar Harian.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh yang telah bercerai dengan ibu mangsa didakwa melakukan kesalahan sumbang mahram ke atas mangsa pukul 12 tengah hari, 14 Ogos 2019 di sebuah rumah di Kuala Berang, Hulu Terengganu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap mangsa pukul 2 petang pada 26 November 2019 di lokasi yang sama.
Tertuduh turut didapati bersalah atas kesalahan liwat yang didakwa dilakukan pukul 2 petang pada 26 November 2019 di lokasi sama.
Dengan itu, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama dan kedua manakala bagi kesalahan liwat tertuduh dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan.
Mahkamah mengarahkan hukuman bagi pertuduhan pertama dan kedua dijalankan secara berasingan manakala hukuman bagi kesalahan liwat berjalan serentak dengan pertuduhan kedua.
Hukuman ke atas tertuduh berkuat kuasa bermula dari tarikh tangkapan pada 2 Disember 2019.
Pendakwaan kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Hayyatuddin Muhamad.
Dalam pada itu, pihak peguam akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi atas sabitan dan hukuman terhadap tertuduh.
Leave a Reply