jurucakap

Ramai sangat jurucakap kerajaan, rakyat jadi keliru

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyarankan kerajaan Pusat melantik jurucakap bagi membuat semua pengumuman berkenaan dasar kerajaan selepas pertimbangan yang teliti.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, lantikan jurucakap itu bertujuan mengurangkan atau menghapuskan kemungkinan kenyataan bercanggah berkenaan dasar kerajaan yang menyebabkan kekeliruan tidak sepatutnya dalam kalangan rakyat.

Beliau mengambil contoh berhubung kekeliruan pengumuman dalam isu subsidi minyak masak sawit, ayam dan telur baru-baru ini yang telah menyebabkan pembelian panik dalam kalangan pengguna.

“Satu contoh yang sangat jelas ialah pengumuman yang dilaporkan media pada 23 Jun lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengatakan subsidi minyak masak dalam botol satu hingga lima kilogram (kg) akan dihentikan mulai 1 Julai.

“Bagaimanapun, pada hari yang sama media melaporkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin menyatakan kerajaan tidak menamatkan subsidi bagi minyak masak sawit selepas 1 Julai tetapi kembali kepada mekanisme harga asal sebelum pandemik Covid-19.

“Kita hairan mengapa terdapat dua pengumuman yang bercanggah mengenai topik yang sama yang menjadi kebimbangan serius pada hari yang sama di dalam media,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lebih mengecewakan tambah Mohideen, berlaku pusingan-U secara tiba-tiba selepas  pengumuman mengenai penghapusan subsidi di dalam media selama dua hari yang menyebabkan kebimbangan tidak wajar dalam kalangan pengguna.

Jelasnya, pengumuman sedemikian menyebabkan beberapa pasar raya mencatu minyak masak kerana bimbang akan pembelian panik.

“Pengumuman sebegini boleh mencetuskan pembelian panik yang merupakan perkara yang perlu dielakkan oleh kerajaan dan pengguna,” katanya.

Tambah beliau, jika kerajaan mendengar kata-kata pengguna seperti yang didakwa, kerajaan sepatutnya melakukan kajian dan membuat keputusan sebelum mengumumkan pemansuhan subsidi.

Ini jelasnya, menunjukkan terdapat kekurangan penyelarasan dalam kalangan kementerian atau mereka tidak diberikan taklimat dengan betul menyebabkan Zuraida cuba menjelaskan “terdapat beberapa salah faham mengenai isu itu”.

“Jika terdapat salah faham, kenapa kerajaan bersusah payah menjelaskan minyak masak dalam botol mudah diseludup hanya dua hari sebelum ini?

“Malah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut berwaspada terhadap situasi itu dengan menjangkakan kemungkinan pencatutan oleh peniaga,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *