857 ubat, suplemen tidak berdaftar dirampas

SEBANYAK 857 ubat-ubatan dan suplemen penjagaan kesihatan tidak berdaftar bernilai RM4.2 juta menerusi 124 serbuan di negeri Selangor sepanjang Januari hingga Mei lalu.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor (Farmasi), Dzafarullah Daud, berkata serbuan dilakukan Cawangan Penguatkuasaan, Bahagian Perkhidmatan Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berdasarkan hasil maklumat awam risikan yang kebiasaannya mengambil masa selama dua bulan.

“Rampasan membabitkan tiga kategori produk utama iaitu perangsang seks, pelangsingan badan dan memutihkan kulit atau wajah.

“Hasil pemeriksaan mendapati produk itu tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM), sekali gus mendatangkan risiko kepada masyarakat,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Jelajah Scan, Sahih dan Selamat di Management and Science University (MSU), hari ini.

Terdahulu, program dirasmikan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM, Roselan Ishak. Yang turut hadir, Presiden MSU, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid.

Dzafarullah berkata, siasatan kes dijalankan mengikut Akta Racun 1952, Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Beliau berkata, selain itu pihaknya juga telah menyaring dan menyekat sebanyak 264 laman sesawang dan laman sosial yang didapati melanggar peraturan ditetapkan sepanjang tahun lalu.

“Ia termasuk membabitkan kesalahan mengiklan dan menjual ubat-ubatan dan suplemen penjagaan kesihatan yang tidak berdaftar.

“Untuk itu, kita sentiasa bertindak proaktif dalam menjalankan pemantauan seumpama itu selain pemeriksaan dan serbuan ke atas premis penjualan,” katanya.

Pada masa sama, semua ubat-ubatan dan suplemen penjagaan kesihatan perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum dijual kepada orang ramai.

“Pendaftaran itu adalah kaedah yang ditetapkan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Ini bagi menjamin keselamatan, keberkesanan dan kualiti semua ubat-ubatan dan suplemen penjagaan kesihatan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *