BEKAS Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendedahkan, UMNO pernah menghantar akuan bersumpah (SD) yang menyokong pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kepada Istana Negara.
Malah, beliau mengakui turut menandatangani SD tersebut secara ‘terpaksa’ setelah didesak berbuat demikian berulang kali.
Namun, kata Ahli Parlimen Pasir Salak itu, perkara tersebut tidak pernah dimaklumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada akar umbi parti.
“Jajaran baru, kata No Anwar, No DAP, No PKR. Come on, saya saksi hidup. Tak usah nafilah, memang ada SD sign nak menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.
“Surat ditulis kepada istana, memang ada. Saya digesa-gesa. Saya kata saya tak nak.
“Tapi dah sampai nak bermasam muka, saya sign jugaklah,” katanya dalam sidang media khas di sebuah hotel di Petaling Jaya, hari ini.
Pendedahan Tajuddin yang baru dipecat daripada jawatan Ahli MT UMNO Jumaat lalu itu sekali gus mengesahkan desas-desus tentang komplot segelintir pemimpin tertinggi UMNO untuk menyokong pencalonan Anwar sebagai Perdana Menteri.
Sehubungan itu, beliau mendakwa, slogan ‘No Anwar, No DAP, No PKR’ yang pernah dilaungkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO dahulu adalah satu pembohongan.
“Dia berbohong kepada ahli UMNO, kepada orang ramai yang tak tahu. Kasihan ahli-ahli UMNO di bawah. Kena hormat Presiden kan. Ikutlah,” katanya.
Beliau turut mendakwa sebelum ini hampir 130 ketua bahagian UMNO mahu Ahmad Zahid berundur.
Menurut Tajuddin, timbul gerakan mendesak Ahmad Zahid melepaskan jawatan Presiden pada 2020, diketuai Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, namun gerakan tersebut tidak berhasil.
“Mohamad takut bila kena sergah dengan orang Zahid,” katanya.
Beliau menambah, antara pemimpin yang terlibat dalam gerakan itu adalah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Naib Presiden, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin; bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; dan Ketua Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
“(Mesyuarat) dibuat di rumah saya. Masa itu keputusan perjumpaan ini, kita nak buat satu memorandum meminta Zahid supaya turun dengan baik demi kepentingan UMNO,” katanya.
Tajuddin juga berkata, tidak takut dipecat oleh UMNO selepas membuat pendedahan pada hari ini.
Katanya, beliau sudah beberapa kali dipecat dalam UMNO dan sudah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan.
“Saya banyak kali kena pecat. Dulu pernah kena pecat dengan Anwar (pada) 1995. Biasa lepas kena pecat, lepas tu orang yang pecat terus masuk ‘jail’ (merujuk kepada Anwar),” katanya.
Leave a Reply